Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara mengetepikan perintah injunksi yang diperoleh kerajaan Selangor untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menyerahkan laporan persempadanan semula kepada perdana menteri.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Umi Kalthum Abdul Majid membenarkan SPR merayu terhadap keputusan Hakim Azizul Azmi Adnan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 Julai lalu.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor masih mempunyai perintah penangguhan terhadap SPR daripada menjalankan siasatan tempatan susulan keputusan Azizul berkaitan permohonan semakan kehakiman, yang akan didengar berdasarkan merit pada 7 Disember.

SPR juga mengakui mereka tidak dapat menyerahkan laporan persempadanan semula tanpa Selangor, salah sebuah negeri di Semenanjung Malaysia.

Hanya tiga laporan persempadanan boleh diserahkan kepada perdana menteri, iaitu Sabah, Sarawak dan semenanjung.

Hakim lain dalam panel itu ialah Ahmadi Asnawi dan Suraya Othman.

Sebelum itu, Umi Kalthum menolak permohonan kerajaan Selangor untuk mengecualikan beliau daripada mendengar rayuan itu kerana menjadi salah seorang panel hakim di Mahkamah Rayuan yang membenarkan SPR merayu dalam kes melawan beberapa pengundi dari Melaka.

Peguam kanan Cyrus Das dan Datuk Ambiga Sreenevasan berhujah kes melibatkan pengundi Melaka itu mirip dengan kes melibatkan kerajaan Selangor.

[Baca berita asal]