PARLIMEN l Jabatan Peguam Negara bersama dengan beberapa kementerian serta agensi berkaitan sedang mengambil segala tindakan yang sewajarnya untuk membentangkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017.

Dalam jawapan bertulis parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Jabatan Peguam Negara telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.

"Jabatan Peguam Negara seterusnya telah menyiapkan draf pertama Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dan perkara ini juga telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 28 Julai lalu.

“Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 ini akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, kabinet pada mesyuaratnya pada 1Mac lalu bersetuju supaya pindaan dibuat terhadap Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan memasukkan peruntukan tambahan bagi memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah menjatuhkan hukuman selain daripada hukuman mati mandatori.

Undang-undang sekarang menetapkan hukuman mati mandatori bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan pengedaran dadah.

Azalina menjawap soalan Gobind Singh Deo (DAP - Puchong) yang ingin tahu sama ada kerajaan ingin memansuhkan hukuman mati di negara ini dan sama ada kerajaan sedia menangguh semua perlaksanaan hukuman mati sementara moratorium itu.

[Baca berita penuh]