Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah telah memohon untuk mengketepikan saman pemula bekas ahli parlimen Umno, Tawfik Ismail untuk melarang Parlimen daripada membenarkan usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), atau mana-mana usul serupa dibentang dan dibahaskan.

Ini didedahkan oleh peguam Tawfik, Mansoor Saat, selepas pengurusan kes hari ini. Katanya kepada wartawan, walaupun permohonan difailkan dua bulan lalu, plaintif hanya menerima permohonan itu pada 13 Oktober lalu.

Berikutan itu, Mansoor berkata hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Kamaludin Md Said hari ini menetapkan 11 Januari untuk mendengar permohonan itu sebelum membuat keputusan lanjut.

Menurut peguam itu, Pandikar dan Roosme memetik Perkara 62 (1) dan 63 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut perkara itu tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Perkara 62 (1) menebut “setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.”

Manakala Perkara 63 (1) 63 memperuntukkan “kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.”

Bagaimanapun, Mansoor berkata mereka berpandangan bahawa memandangkan Islam berada dalam bidang kuasa negeri, maka pindaan itu sepatutnya dibawa ke Persidangan Raja-raja terlebih dahulu untuk kelulusan mengikut Perkara 38, sebelum dibentangkan.

Beliau berharap dengan membawa isu itu ke mahkamah, speaker akan menghormati dan tidak membawa Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk dibahaskan.

"Adalah sub-judis untuk berbuat demikian. Seperti kes 1MDB, Speaker memutuskan bahawa ia tidak boleh dibahaskan kerana perkara itu dianggap sub-judis, maka begitu juga dengan permohonan ini.

"Oleh itu, kami berharap perkara ini dihormati dan tidak dibentangkan (sebelum permohonan dilupuskan)," katanya.

Tawfik, anak kepada Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, timbalan perdana menteri Malaysia pada tahun 1970-an, telah memfailkan saman pemula yang menamakan Pandikar dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosmee Hamzah sebagai defendan.

[Baca berita penuh]