Perjuangan bukan sekadar menubuhkan parti politik untuk menang dalam pilihan raya, apatah lagi jika ia didorong oleh dendam kesumat, pesan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

Nasrudin dalam kenyataan semalam mengungkapkan erti perjuangan yang menurutnya sudah dicabul sesetengah pihak.

"Aktif di medan politik dengan tujuan menjatuhkan individu tertentu atau hanya ini berkuasa juga tidak menepati nilai perjuangan. Kalaupun mereka dakwa itulah perjuangan mereka, ia adalah pencabulan terhadap erti perjuangan sebenar. 

"Ia bukan perjuangan tulen, sebaliknya tindakan yang didorong dendam kesumat," katanya dalam siri kenyataan Sekali Serban Dililit yang disiarkan di Facebooknya.

Justeru, anggota parlimen Temerloh itu berkata, tidak hairan jika semua cara menjadi halal untuk mencapai matlamat yang hanya bertumpu kepada soal kuasa.

Kenyataan tersebut tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus, tetapi dipercayai ia ditujukan kepada parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH), ekoran ia turut menyentuh tentang pihak yang tidak dipilih sebagai pemimpin.

"Kalah tidak mengalah, menang tidak angkuh...Meski tidak dipilih sebagai pemimpin, ia terus istiqamah sebagai anggota yang taat setia," katanya lagi.

Selepas kalah dalam pemilihan pada muktamar 2015, kumpulan 'profesional' parti itu yang diketuai Mohamad Sabu bertindak meninggalkan PAS untuk menubuhkan AMANAH.

Kini, kedua-dua parti itu dilihat sebagai musuh ketat dengan masing-masing berbalas kenyataan mengkritik satu sama lain.

Nasrudin berkata, erti perjuangan PAS semenjak dulu kekal sehingga kini dan tidak boleh dijualbeli.

"Matlamat ditatah dengan jelas. Dasar dan prinsip dipasak sedalam-dalamnya. Perjuangan bukan mencari menang, sebaliknya yang dicari ialah redha Pencipta dalam kemenangan yang mahu diraih," katanya lagi.