MP mahu KSN siasat dakwaan hubungan sulit Dzulkifli
Ahli Parlimen pembangkang hari ini menuntut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa untuk menyiasat dakwaan hubungan sulit membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad selaras dengan Perintah Am Perkhidmatan Awam.
“Saya nak tanya, apakah peranan KSN ini, saya masih ingat dalam Perintah Am, ketua pesuruhjaya SPRM ini hendak dipanggil oleh KSN untuk siasatan.
“Pernah pun seorang ketua setiausaha, pegawai PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) yang dituduh ada hubungan dengan isteri orang lain, akhirnya beliau dipecat daripada kerajaan,” kata Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) di Dewan Rakyat.

“Adakah Puchong rasa dalam kes ini, KSN sama-sama cover dan lebih malang lagi Puchong, adakah dengan tindakan diambil ketua SPRM ini, adakah mungkin dia dikompromi pada masa hadapan, menggunakan apa jua kesalahan dia ada,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang menimbulkan kes Dzulkifli, yang disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan oleh polis manakana SPRM menerusi Ops Gopi, pula sedang menyiasat anggota polis yang didakwa menerima rasuah daripada tauke judi sebagai balasan untuk perlindungan .
Dzulkifli terpalit apabila satu siri video disebarkan di media sosial, mendakwa beliau mempunyai hubungan sulit sehingga menyebabkan perceraian ke atas wanita itu.
“Saya nak tanya SPRM adakah benar, Tan Sri Dzulkifli orang dalam dalam video itu. Adakah beliau dalam tugas rasmi ke Bali pada masa itu?
“Kalau lihat video, kita dapat lihat pegawai-pegawai lain, adakah mereka juga pegawai SPRM? Adakah SPRM tahu mengenainya?" soal Gobind.

G Manivannan (PKR-Kapar) kemudian bangkit dan mencelah. Beliau mempersoalkan sekiranya SPRM dan polis cuba menutup “satu sama lain” kerana masing-masing sedang menyiasat kes membabitkan pihak yang satu lagi.
“Saya tertarik dgn perbahasan Puhcong yg mengatakan polis sedang siasat SPRM dan SPRM sedang siasat polis, saya rasa itu kata kunci kepada semua permasalahan kepada masalah yang wujud di Malaysia sekarang.
“Adakah ini bermaksud, polis sedang berkompromi dengan SPRM dan SPRM sedang berkompromi dengan polis?” soalnya.

