Dewan Rakyat hari ini sebulat suara menyokong usul supaya penggunaan internet tidak disekat, tetapi bersetuju kerajaan perlu memantau dan mengawal kebebasan siber supaya ia tidak menimbulkan keracunan politik kepada rakyat.

Usul tersebut telah dibawa oleh Ahli Parlimen BN-Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad ketika membahaskan Rang Undang-undang Tandatangan Digital, di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaliknya, beliau mencadangkan satu undang-undang ke atas pelayan laman web (host website) perlu diwujudkan bagi mengawal kandungan internet supaya ia tidak disalahgunakan.

Ruhanie juga menyarankan supaya kerajaan mengkaji undang-undang berkaitan e-dagang.

Ini kerana, katanya, kini tidak ada peruntukan undang undang berkaitan dengan jenayah e-dagang.

Beliau turut mengambil contoh berlaku pencerobohan ke atas rahsia kerajaan yang kemudian disiarkan oleh media tanpa kawalan.

Tingkatkan upaya

Dalam usul selanjutnya, Ruhanie menggesa kerajaan meningkatkan keupayaan laman webnya bagi mengatasi laman-laman web pembangkang yang semakin agresif baik dari segi mesej dan kandungan serta bilangannya.

Katanya, walaupun kerajaan gigih memperkenal pembangunan teknologi maklumat (ICT), ternyata kini kerajaan sendiri ketinggalan menyaingi laman web yang lain.

Sementara wakil DAP-Kota Melaka, Kerk Kim Hock dalam hujah balasnya berkata masalah siber ini juga wujud di negara-negara lain terutama di Amerika. Tetapi tambah beliau, masalah sedemikian tidak menjadi masalah besar kepada kerajaan tersebut kerana mesej berita rasmi kerajaan di situ memang mempunyai kredibiliti.

Oleh itu, bagi menarik keyakinan rakyat kepada akhbar arus perdana di sini, kerajaan haruslah memberi tumpuan meningkatkan kredibilitinya baik di segi kandungan berita dan mesej bukan membuat kawalan semata.

Menjawab soalan wakil DAP itu, Ruhanie menjelaskan bahawa tahap kematangan dan budaya rakyat Amerika tidak sama dengan rakyat tempatan.

Oleh itu beliau mengingatkan supaya internet tidak disalahgunakan dan diperalatkan sebagai gerakan subversif kepada rakyat.