Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Penutupan 5 Giant tiada kaitan ekonomi negara'

Penutupan lima cawangan pasar raya Giant tiada kaitan dengan keadaan ekonomi negara seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata keputusan dibuat pemilik pasar raya itu, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, adalah berikutan masalah sewaan premis selain sebahagian daripada strategi perniagaan mereka untuk mengecilkan saiz cawangan terbabit.

"Mereka perlu mengecilkan saiz cawangan tersebut dan mencari premis lain yang lebih kecil daripada apa yang ada ketika ini.

"Mereka masih dalam perbincangan (mengenai perkara itu) dan ini tiada kaitan dengan keadaan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian, di Putrajaya hari ini.

Isu penutupan lima pasar raya Giant di Sri Manjung, Perak; Sungai Petani, Kedah; Shah Alam City Centre dan Selayang Lama di Selangor; dan Sibu, Sarawak pada 5 Nov ini tular di media sosial baru-baru ini dengan banyak pihak mengaitkannya dengan keadaan ekonomi negara.

Hamzah berkata semua pihak perlu memahami bahawa peniaga mengambil risiko masing-masing dalam menjalankan perniagaan, termasuk dari segi persaingan dengan kedai dan pasar raya yang lain.

Selain itu, katanya, trend semasa yang menyaksikan peningkatan pembelian melalui dalam talian juga menyebabkan pasar raya juga terpaksa bersaing bagi mendapatkan pelanggan.

"Tesco telah menjual pasar raya besar mereka di Korea, adakah itu bermakna Korea akan bankrap? Itu adalah strategi perniagaan yang dilakukan oleh pemegang saham syarikat sendiri demi memastikan kelestarian perniagaan mereka," katanya.

Ditanya mengenai nasib perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjual barangan mereka di pasar raya lima Giant yang ditutup itu, Hamzah berkata perjanjian mereka adalah dengan syarikat dan bukan dengan cawangan.

"Contohnya jika dia (PKS) membuat perjanjian membekalkan 1,000 botol sebulan, jika Giant tutup satu cawangan pun, perjanjian masih seperti itu," katanya.

Menurutnya, ketika ini Giant mempunyai 51 rangkaian pasar raya dan 71 superstore di seluruh negara, manakala keseluruhan pasar raya besar yang dimiliki syarikat dari luar negara berjumlah 119.

- Bernama

Lihat Komen
ADS