Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan tidak bercadang menggunakan duit rakyat sebagai subsidi pembangunan Internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai permintaan tinggi.

“Memanglah satu perkara yang tidak dapat dielakkan ialah elemen permintaan. Kalau elemen permintaan di sesuatu tempat itu rendah, tetapi kita nak letakkan ia pada tahap yang tinggi maka tidak akan ada keseimbangan di situ.

“Ia bukannya model perniagaan. Kalau tidak ada model perniagaan kawasan yang mempunyai tinggi permintaannya akan dapat kelajuan yang lebih dari kawasan yang kurang permintaan.

“Tidak wajar kita gunakan duit rakyat untuk memberi subsidi kepadanya.

"Namun, saya percaya, jurang perbezaan bagi capaian Internet Ini akan dikurangkan dari semasa ke semasa,” kata Najib pada sesi dialog TN50 sempena Persidangan Daya e-Usahawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Jack Ma terkejut

Sementara itu, Najib turut memaklumkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Malaysia akan dilancarkan buat pertama kalinya Jumaat ini selepas berjaya menarik lebih 2,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

DFTZ ialah inisiatif terbaru kerajaan dalam memacu perkembangan sektor e-dagang negara, seiring usaha pengukuhan kepada ekonomi domestik.

Pelancaran DFTZ akan sempurnakan perdana menteri bersama jutawan Internet dari China, Jack Ma, yang juga Pengerusi Eksekutif Alibaba Group.

“Bila saya jumpa Jack Ma saya tertarik dengan konsep zon perdagangan bebas digital.

“Dia telah nyatakan kepada saya, kalau kita boleh berikan kelulusan dalam masa tiga bulan, dia akan jadikan Malaysia sebagai DFTZ pertama di luar China dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digitan Malaysia (MDEC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Kita berjaya memenuhi kehendak Jack Ma dalam masa tiga bulan dan ia mengejutkan. Dia tidak fikir ada kerajaan boleh buat begitu dalam masa tiga bulan,” kata Najib.

Terdahulu, Najib berkata Ma menetapkan syarat kepada Malaysia untuk mencapai sasaran 1,500 PKS menyertainya.

“Jack Ma akan datang dan saya diberitahu sasaran 1,500 syarikat IKS dan mereka kata, tidak mungkin dapat itu, tetapi sekarang ini 1,900 yang hadir dan hampir 2,000 syarikat dah ada sekarang,” kata Najib.

Pada majlis pelancaran itu juga Najib berkata lima orang usahawan bertuah dipilih bagi bertanya soalan secara terus kepada Ma.

Hadir sama pada persidangan hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.

Seramai 4,000 usahawan dan pelajar menyertai persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam anjuran MDEC.