'Orang muda mahu didengari, bukan dileteri...'
TEMUBUAL | Nama Kerk Chee Yee tiba-tiba mendapat perhatian di arena politik tanah air pada bulan Ogos apabila ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang, mengumumkan pemuda berusia 25 tahun itu sebagai setiausaha politiknya.
Ini bukan kali pertama Lim memilikh seorang anak muda yang tidak begitu dikenali untuk mengisi jawatan tersebut, yang dilihat sebagai batu loncatan untuk mengisi barisan kepimpinan masa depan parti itu.
Yang lainnya ialah ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong, Exco Selangor Teng Chang Khim, dan calon calon Teluk Intan, Dyana Sofya Md Daud.
Bagi Chee Yee, ketika membesar, dia akan menemani mendiang bapanya, ketika menjadi setiausaha agung DAP, menghadiri pelbagai program dan majlis parti.
"Di dalam kereta, dari awal perjalanan sehingga kami tiba di destinasi kami, dia akan bercakap dengan saya mengenai prinsip-prinsipnya dan apa yang dia fikir tentang politik.
"Hampir 90 peratus perbualan kami adalah politik," katanya dalam temu bual dengan Malaysiakini.
Walaupun begitu, Chee Yee berkata, dia seperti ramai pemuda lain, tidak memahami "kepentingan politik" pada masa itu.
Kesedarannya bahawa para pemuda mempunyai peranan dalam politik hanya datang kemudian, ketika satu diskusi meja bulat ketika belajar di Melbourne, Australia.
Melihat pelajar Malaysia yang lain dengan penuh semangat membincangkan mengenai penyelesaian kepada masalah negara, beliau mempercayai bahawa para belia mempunyai suara dan tanggungjawab dalam membentuk masa depan negara.
Selepas tamat pengajian dengan ijazah dalam bidang kewangan dan perakaunan dari University Melbourne pada tahun 2014, Chee Yee bertugas dalam bidang pelaburan.
Kerk menyaksikan semakin banyak rakannya yang berhijrah untuk mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik di luar negara, namun dia tertarik kepada politik tempatan ketika dia menyaksikan perubahan dinamik dalam pembangkang.
Pada bulan Jun, beliau berhenti bekerja dalam bidang berkenaan untuk menyertai DAP sebagai penyelidik sepenuh masa.
"BERSATU semakin berpengaruh, Pakatan Harapan hampir dibentuk dan PAS berpisah dengan PKR. Segala-galanya menunjukkan bahawa pilihan raya akan datang akan mengubah Malaysia selama-lamanya.
"Jadi saya mahu berada di sana, untuk melihat sendiri dan membantu sebanyak yang saya boleh," jelasnya.
Yang menariknya, Kerk Jr juga memulakan kerjaya politiknya sebagai setiausaha politik Lim.
Katanya, dia gembira mengikuti supremo DAP itu dalam pelbagai program dan ceramah, tetapi mengakui bahawa belia kurang menghadiri pelbagai acara.
"Kebanyakan hadirin adalah orang yang lebih tua.
"Di beberapa acara saya nampak ramai anak muda, saya bercakap dengan beberapa orang dan menyedari bahawa mereka mempunyai harapan yang berbeza daripada pengundi berumur.
"Orang muda mahu didengari, mereka mempunyai pandangan sendiri dan mereka mahu menyuarakannya," katanya.
Ini, katanya, membuat kaedah yang lebih tradisional seperti ceramah kurang berkesan untuk mendekati golongan belia, kerana ia cenderung kepada kepada komunikasi sehala.
Yang Ketara, golongan muda kurang dilihat di perhimpunan HARAPAN "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi" di Padang Timur, Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu.
Bagaimanapun, Kerk percaya bahawa golongan belia bukan di luar jangkauan dan masih ada harapan untuk menarik minat mereka terhadap politik.
Salah satu cara untuk mencapainya, katanya, ialah melalui majlis skala kecil yang memudahkan komunikasi dua hala.
"Kami (DAP) merancang mengadakan banyak sesi town hall, forum dan kumpulan fokus yang lebih kecil. Sebahagiannya telah pun kami lakukannya.
"Dengan cara ini, kita akan dapat mengetahui apa yang orang muda fikirkan ... dan orang lain boleh mendengar idea kita.
"Itu jugalah yang membuat saya tertarik terhadap politik," katanya.

