Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: 'Ibu segala bajet' mansuh program kesihatan wanita
Diterbitkan:  Nov 1, 2017 12:05 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggelarkannya sebagai 'ibu segala bajet', Bajet 2018 tidak memberi peruntukan kepada dua program kesihatan untuk wanita yang pernah diwujudkan sebelum ini, kata anggota parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM20 juta untuk memberikan pemeriksaan mamogram percuma dan vaksin HPV (human papillomavirus) pada 2014.

Namun pada tahun berikutnya, peruntukan itu dikurangkan kepada RM2 juta, sebelum dibatalkan pada 2016.

"Najib mengumumkan bajet berjumlah RM280.25 bilion untuk tahun 2018. Kalaulah beliau kembali memperuntukkan dana seperti tahun 2014 untuk program vaksin HPV dan mamogram , ia hanyalah 0.007 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet.

"Adakah jumlah itu terlalu besar untuk menjaga kesihatan golongan wanita?

"Saya menggesa perdana menteri agar mengembalikan program ini jika beliau benar-benar mengambil berat rakyat Malaysia dan golongan wanita khususnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vaksin HPV berperanan untuk membantu mencegah kanser serviks, manakala pemeriksaan mamogram membantu mengesan kanser payudara pada peringkat awal.

Sim berkata, kerajaan sendiri sebelum ini mengakui kanser payudara adalah kanser yang paling banyak dihidapi lelaki dan wanita di Malaysia, dengan 3,209 kes pada 2008.

Kanser serviks pula adalah kanser ketiga paling banyak dihidapi golongan wanita, dengan 845 kes pada tahun yang sama.

Statistik ini diberikan menerusi jawapan parlimen Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam kepada soalan Sim bertarikh 5 November 2015.

"Program mamogram percuma kerajaan sangat popular dan telah membantu 263,627 wanita. Ini menunjukkan program itu sangat relevan dan amat membantu golongan wanita untuk membuat pengesanan peringkat awal bagi melawan penyakit itu.

"Ia penting terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah. Apabila tiada lagi peruntukan dari bajet, hanya wanita di Selangor dan Pulau Pinang yang masih menikmati program percuma kerana kerajaan negeri masih melaksanakannya," katanya lagi.

Sim berkata, beliau dan anggota parlimen pembangkang lain telah membangkitkan isu ini selepas pembentangan Bajet 2016, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berjanji untuk mengembalikan program itu.

Lihat Komen
ADS