Amaran serangan yang makin teruk pada wartawan
GLOBAL Dua pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Rabu memberi amaran bahawa dunia ketika ini menyaksikan "serangan yang semakin teruk" terhadap wartawan dan setakat ini, lebih 30 orang maut selepas dijadikan sasaran, lapor agensi berita China Xinhua.
Sehubungan itu, Agnes Callamard dan David Kaye menggesa semua negara mengambil tindakan segera bagi mengatasi perkara ini.
"Selain meragut nyawa individu terbabit dan memisahkan mereka daripada orang tersayang, semua serangan ini bertujuan menghancurkan peranan wartawan sebagai jagawan umum (public watchdog) yang penting dalam masyarakat demokratik," kata mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Rabu.
"Apabila pihak berkuasa gagal mengambil tindakan lanjut dan meyiasat serangan itu secara bebas untuk mengheret pelaku ke muka pengadilan, ini bermakna pembunuh dan sekutunya telah mencapai objektif mereka," kata mereka menjelang 'Nov 2 International Day to End Impunity for Crimes Against Journalists.'
Satu resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2013 telah mengiysytiharkan 2 Nov sebagai International Day to End Impunity for Crimes Against Journalists susulan pembunuhan dua wartawan Perancis di Mali pada 2 November 2013 .
- Bernama

