Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal
Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan awal hari ini, disokong oleh faktor luaran dan aktiviti belian semasa harga rendah, kata peniaga.
Pada 9.03 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.24 mata kepada 1,747.17 selepas dibuka tinggi 0.01 mata kepada 1,743.94 pagi ini.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung sebanyak 134 berbanding kaunter rugi 81 manakala 181 kaunter kekal tidak berubah dengan 1,414 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 121.45 juta saham bernilai RM438.23 juta.
Public Bank Investment Bank Bhd berkata bursa tempatan dibuka tinggi hari ini selepas pengukuhan saham berteraskan komoditi membantu memacu ekuiti AS utama kepada paras tertinggi baharu manakala indeks pan-European Stoxx 600 melepasi paras tertinggi pada Mei kepada paras terbaik sejak Ogos 2015.
PChem menokok tujuh sen kepada RM7.44, PetGas meningkat 14 sen kepada RM18.22 dan PetDag naik 10 sen kepada RM24.20.
Antara kaunter untung dalam saham wajaran tinggi, HapSeng menambah lapan sen kepada RM9.36, CIMB dan Sime Darby, masing-masing naik dua sen kepada RM6.16 dan RM9.11 manakala TM dan WPRTS, masing-masing menokok empat sen kepada RM6.22 dan RM3.74.
Daripada saham aktif, BJCorp dan Ekovest, masing-masing meningkat dua sen kepada 35 sen dan 97 sen, Hubline dan PUC, masing-masing tidak berubah pada 17.5 sen dan 18.5 sen manakala HuaAn dan Hibiscs, masing-masing susut setengah sen kepada 28 sen dan 74 sen.
Antara kaunter untung, KmLoong naik 30 sen kepada RM4.90, LafMsia menokok 15 sen kepada RM7.0, BAT meningkat 14 sen kepada RM38.38, PMBTech menambah 11 sen kepada RM3.82 dan PMetal naik 10 sen kepada RM4.82.
Indeks FBM Emas meningkat 7.01 mata kepada 12,597.43, Indeks FBMT100 menokok 7.38 mata kepada 12,232.23, FBM Ace naik 19.6 mata kepada 6,900.99.
FBM 70 susut 14.66 mata kepada 15,521.93 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 9.91 mata kepada 13,066.88.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 33.33 mata kepada 16,273.33, Indeks Perladangan meningkat 0.19 mata kepada 8,003.28 dan Indeks Perusahaan menokok 6.59 mata kepada 3,196.26.
- Bernama

