Menteri: Larangan Johor terhadap Mufti Zimbabwe rasional
Tindakan Johor mengharamkan pendakwah terkenal dari Zimbabwe, Ismail Menk, daripada menyampaikan ceramah di negeri itu pastinya berdasarkan sebab yang rasional dan tidak dibuat melulu-lulu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, pihak berkuasa agama negeri berhak membuat keputusan dan memutuskan langkah seterusnya berhubung perkara itu.
"“Mufti Menk tidak ada hubungi saya mengenai perkara itu. Saya serahkan kepada kerajaan Johor untuk buat keputusan seterusnya.
"Ia bergantung kepada sebab larangan dan dibuat dan sama ada ia ada asas. Pasti ada (sebab) rasional di sebalik keputusan itu," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung perkara itu dan sama ada Menk membawa ancaman kepada keharmonian agama di Malaysia.
Selain Menk, atau nama sebenarnya Ismail Menk, Johor turut dilaporkan melarang penceramah Haslin baharim atau popular dengan nama "Ustaz Bolywood".
Menurut Berita Harian, larangan itu atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas sebab pandangan mereka boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.
Dua hari sebelumnya, Singapura menolak kemasukan Menk dan Haslin yang dijadual menyampaikan ceramah dalam satu program kapal persiaran bertemakan agama.
Straits Times melaporkan kedua-duanya sebelum ini pernah memohon untuk mendapatkan pas kerja (Miscellaneous Work Pass) bagi program dakwah di negara itu.
Penolakan itu kerana Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berpandangan ajaran mereka "bertentangan dengan nilai-nilai yang dipegang rakyat beragama Islam" di sana.
Haslin Barahim terkenal sering menyelitkan nyanyian dalam programnya, dan rakaman ceramahnya di laman Youtube mencatat ratusan ribu tontonan.
Menk juga turut dikenali terutama di kalangan umat Islam di bandar dan sudah beberapa kali datang ke Malaysia.
Majlis Ulama Zimbabwe dalam satu kenyataan menyifatkan larangan Singapura itu sebagai tidak adil dan berdasarkan persepsi yang salah.
Menurut kenyataan itu, Menk merupakan aset kepada kepelbagaian budaya dan agama di Zimbabwe dan memainkan peranan penting dalam melawan ekstremisme melalui seruannya agar umat Islam sentiasa menghormati penganut agama lain.

