Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suu Kyi bertolak ke kawasan dilanda konflik di utara
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 3:38 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi telah memulakan perjalanan ke dua kawasan utama di Maungtaw, yang terletak di utara negeri Rakhine, bagi memeriksa kampung yang musnah akibat serangan melampau pengganas sejak beberapa bulan lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan ketua pengarah Pejabat Kaunselor Negara, U Zaw Htay.

Beliau berkata Aung San Suu Kyi akan turut meninjau projek pembinaan semula semasa lawatan sehari ke Kampung Taungpyo Letwei dan Khon Tine.

Kerajaan Myanmar telah melaksanakan beberapa projek jangka pendek di bahagian utara Rakhine selepas wilayah itu kembali selamat dan stabil yang sebelum ini dimusnahkan oleh pengganas sejak tiga bulan lepas.

Pada 17 Okt, kerajaan Myanmar membentuk Union Enterprises for Humanitarian Assistance, Resettlement and Development (UEHRD), yang diketuai Suu Kyi, untuk melaksanakan projek jangka panjang yang bebas daripada konflik dengan lebih efektif.

Myanmar turut membentuk sembilan pasukan petugas sektor swasta untuk menyertai mekanisme UEHRD yang diterajui Suu Kyi di utara Rakhine.
Suu Kyi telah memberi keutamaan kepada tiga tugas yang perlu dilakukan di Rakhine -- penghantaran pulang pelarian yang melarikan diri ke Bangladesh dan menyediakan bantuan kemanusiaan secara efektif; petempatan semula dan pemulihan; membawa pembangunan ke wilayah itu dan mewujudkan keamanan yang berkekalan.

Pengganas ekstremis Tentera Penyelamat Rohingya Arakan telah melancarkan serangan baharu ke atas balai polis di Rakhine pada 25 Ogos, menyebabkan penduduk beberapa kawasan dalam daerah Maungtaw tersingkir.

- Bernama

Lihat Komen
ADS