Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Guru minta habuan seks ditukar buat kerja pejabat'
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 3:51 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Bekas pengerusi cawangan MIC yang dituduh meminta habuan seks bagi bantuan mencari pekerjaan boleh dipecat daripada kerjanya sebagai guru jika didapati bersalah, kata Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan.

Beliau memaklumkan yang guru sekolah Tamil berusia 56 tahun itu kini telah dipindahkan ke tugas-tugas pejabat di Jabatan Pendidikan sementera menunggu siasatan selesai.

"Saya ada rakaman audio itu dan kami sedang menyiasat.

"Jika didapati bersalah, kita akan menimbangkan hukuman yang paling keras, termasuk membuangnya daripada bidang perguruan. Dia tidak sepatutnya dekat dengan sekolah," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menegaskan perilaku tertuduh itu tidak mewakili 4,000 pengerusi cawangan MIC di seluruh negara.

Lelaki tersebut meletakkan jawatannya selaku pengerusi cawangan selepas rakaman perbualannya itu tersebar.

Sementara itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) hari ini membuat laporan polis terhadap lelaki itu.

“Polis dan Kementerian Pendidikan perlu ambil tindakan tegas dan menyiasat pihak lain yang terlibat sama dalam kejadian itu,” kata Ketua DHPP N Balasubramaniam.

Dalam rakaman perbualan yang tersebar beberapa hari lalu, lelaki itu didakwa memberitahu seorang wanita yang dia akan mendapatkan pekerjaan kepada anak gadisnya, dengan syarat anaknya itu tidur dengannya.

Dia juga mendakwa telah mendapatkan pekerjaan kepada sejumlah wanita yang baru selesai menduduki peperiksaan SPM setelah mengadakan hubungan seks dengannya.

Lihat Komen
ADS