Bekas aktivis Jingga 13, Mohd Fariz Musa hari ini dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menyertai perhimpunan Kita Lawan dua tahun lalu.

Peguam Fariz, Eric Paulsen mengemukakan surat kepada pihak pendakwaan untuk memohon agar tuduhan terhadap anak guamnya digugurkan kerana faktor kesihatan.

Surat itu menyatakan bahawa Fariz mengidap kencing manis dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu selainnya kakinya telah dipotong.

Perkara itu juga dimaklumkan kepada majistret Ahmad Solihin Abd Wahid, ketika timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin mengesahkan telah menarik balik pertuduhan itu.

Ahmad Solihin selepas itu memutuskan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

Fariz, 46, bersama bekas aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim, 27, didakwa menyertai perhimpunan Kita Lawan pada 2015 dari Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke KLCC.

Kedua-duanya cuba mencabar Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 berkaitan pengharaman protes jalanan, tetapi tidak berjaya.

Walaupun Fariz dibebaskan, perbicaraan terhadap Adam Adli akan diteruskan hari ini di hadapan majistret.

Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh juga sebelum ini dilepaskan tanpa dibebaskan kerana menyertai perhimpunan yang sama.

Bagaimanapun, mereka berdepan tuduhan yang sama untuk kali kedua kurang dua bulan kemudian.