Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini mengeluh bahawa banyak kumpulan dan persatuan memintanya menjadi penaung semata-mata untuk mendapatkan bantuan kewangan, meskipun dirinya tidak mempunyai bajet" atau peruntukan kewangan.

Berucap pada majlis perasmian Program Pendidikan Berterusan Kejurulatihan Sains Sukan, anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan Institut Sukan Negara (ISN), beliau memilih untuk menyindir kedua-dua yayasan itu dan membidas pembangkang.

“Selalunya orang suka suruh saya jadi penaung ataupun presiden bukan nak saya kerja sangat, sebab dia suruh saya cari duit.

“Saya rasa Yakeb ini pun lantik saya sebagai penaung kerana suruh saya cari duit. Banyak saya dapat surat daripada Yakeb minta pertolongan, mintak pertologan itu, ini dan saya cakap saya tak ada bajet.

“YB Khairy (Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan), saya memang tak ada bajet.

“Kalau saya ada bajet sibuk pula pembangkang kata macam mana Rosmah pula ada bajet,” katanya di ISN, Bukit Jalil hari ini.

Rosmah berkata, selepas mengajukan permintaan Yakeb kepada suaminya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yayasan itu "lupa tentang dirinya” meskipun menerima dana sebanyak RM3 juta pada Jun lalu.

“Tapi ni yang saya sedih, bila dapat duit, saya pun tak dapat jemputan.

“Bila dia dapat cek, tiba-tiba suami saya balik dan kata ‘dah bagilah cheque dekat Yakeb’. Saya kata berapa? Dia kata RM3 juta.

“Amboi! saya kata... ini masalah Yakeb, kalau terima untung-untung itu, ingatlah penaung ini sikit. Janganlah suruh saya buat kerja, cari duit tapi apabila sudah dapat duit, dia lupa pada saya.

“Tapi ini adalah okay, saya hanya mengusik kamu Iskandar,” katanya merujuk kepada Pemangku Presiden Yakeb, Mohd Azlan Iskandar, seorang pemain profesional skuasy negara pada tahun 2012.

[Baca berita penuh]