mk-logo
Berita
Tumpu pada tuduhan lebih serius Clare, kata Ambiga
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 8:30 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Datuk Ambiga Sreenevasan menjadi tumpuan sejak editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mengheret namanya dalam saman fitnah yang difailkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di United Kingdom.

Kenyataan pembelaan Rewcastle-Brown memetik nama bekas pengerusi Majlis Peguam itu sebagai sumber berkaitan artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Ambiga berkata pengikut dan sekutu Hadi di Malaysia terlepas pandang lebih banyak bahagian kontroversi dalam pembelaan Rewcastle-Brown.

"Terdapat lebih daripada dua perenggan (berkaitan  Ambiga) dalam pembelaan dan dakwaan balas. Ada sejumlah 36.

"Terdapat tuduhan yang serius terkandung di dalamnya. Mungkin itu harus menjadi tumpuan," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Dalam pemfailan di mahkamah pada 11 Oktober, Rewcastle-Brown menyatakan bahawa Sarawak Report menjalankan "kempen yang wajar" untuk menyingkirkan Najib.

Hadi, dakwa beliau "berkempen" dengan Najib, kerajaan Malaysia dan ejen mereka untuk melumpuhkan atau memburukkan Sarawak Report menerusi saman itu.

Rewcastle-Brown berkata dia layak menerbitkan perkataan yang dipertikaikan oleh Hadi berdasarkan Seksyen 4 Akta Fitnah UK 2013 kerana kenyataannya dibuat demi kepentingan awam.

Beliau mendakwa bahawa ia adalah kepentingan awam untuk menulis mengenai Najib.

Wartawan yang berpusat di London itu yang dituduh bersekongkol untuk menjatuhkan Najib dengan tuduhan palsu, mendakwa perdana menteri memperoleh kekayaan melalui cara rasuah dan terlibat dengan 1MDB yang merupakan subjek siasatan jenayah oleh beberapa pihak berkuasa.

Kenyataan pembelaannya menerangkan dengan panjang lebar siasatan oleh pihak berkuasa Switzerland, AS dan Malaysia terhadap 1MDB.

Beliau mendakwa Najib terlibat dalam "politik wang", membelanjakan wang kepada ramai pemimpin BN sebelum pilihan raya umum lalu dan kemudian menyalurkan dana ke madrasah, sekolah pondok dan tahfiz di kubu kuat PAS.

Beliau juga berhujah bahawa bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dibayar lebih daripada RM200 juta oleh atau bagi pihak Najib untuk membiayai PAS.

Pada April, Nasharuddin mengancam untuk menyaman Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana membuat tuduhan serupa.

Kenyataan pembelaan Rewcastle-Brown juga menyebut senarai panjang kenderaan mewah yang didakwa diperoleh oleh pimpinan teratas PAS.

Selepas berhujah mengenai kepimpinan Najib, Rewcastle-Brown mendakwa ulasannya mengenai RM90 juta untuk PAS diterbitkan dalam "niat baik" sebagai ulasan politik mengenai isu kepentingan awam yang paling serius.

Tambahan pula, beliau berkata kenyataan yang diadukan mengenai Hadi tidak diarahkan kepadanya.

Pemimpin PAS menafikan tuduhan ini sementara Najib menafikan menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS