Pua dakwa konsesi tol untung 'besar' dari pampasan k'jaan
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini mendakwa syarikat konsesi empat tol yang akan dimansuhkan oleh kerajaan, mampu mengaut keuntungan "besar" dari bayaran pampasan kerajaan.
Dalam satu kenyataan, Pua berkata, kerajaan perlu membayar Plus Malaysia Bhd (PLUS) dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), yang mengendalikan tol iru, sebanyak RM118 juta setiap tahun, dari 2018-2038, apabila tempoh konsesi mereka tamat.
"Dengan mengandaikan pampasan yang tidak meningkat bagi tempoh itu, ia akan berjumlah M2.36 bilion. Bagaimanapun, jumlah pampasan ini akan menjadi lebih tinggi apabila ia dikira berdasarkan penggunaan tol itu pada masa hadapan.
"Sama ada pampasan yang diberikan secara tunai, atau sambungan konsesi, mereka yang menanggung bil itu adalah rakyat. Jangan kita lupa kerajaan telah pun membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol sebelum ini, apabila mengumumkan tidak menaikkan kadar tol, dalam ucapan bajet yang lalu,' katanya.
Oleh itu, katanya, tol percuma seperti yang diumumkan itu, sebenar bukanlah percuma.
Dalam banyak keadaan, tambah Pua, membayar pampasan kepada syarikat konsesi berdasarkan kehilangan hasil, lebih mahal daripada mengambil alih sepenuhnya lebuh raya berkenan.
Dengan menggunakan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sebagai contoh, Pua berkata RM1.05 bilion pampasan telah pun diberi kepada syarikat konsesinya, Lingkaran Trans Kota Holdings Sdn Bhd (Litrak) dalam tempoh 25 tahun yang lalu, dengan 13 tahun lagi sebelum pembayaran akan berakhir.
Cara ini lebih mahal daripada kos sebenar untuk membina lebuh raya itu, termasuk faedah, yang berjumlah RM1.3 bilion, katanya.
Pua kemudian menggesa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengambil idea Pakatan Harapan untuk memansuhkan tol secara berperingkat melalui "penyusunan semula dan rundingan semula perjanjian tol dengan syarikat konsesi".
Najib semasa pembentangan Bajet 2018, mengumumkan empat tol, iaitu tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, serta tol Kayu Hitam Bukit di Kedah, dan Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor, akan dimansuhkan mulai 1 Januari tahun depan
PUS mengendalikan tiga tol pertama, manakala MRCB mengendalikan EDL.

