Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS pertimbang senarai Korea Utara penaja pengganas
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 11:33 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

GLOBAL l Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan Korea Utara dalam senarai negara yang menaja pengganas, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Penasihat keselamatan negara kepada Presiden Donald Trump, H.R. McMaster berkata, rejim itu memenuhi kriteria untuk disenaraikan, ekoran kematian abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, awal tahun ini.

"Pekara tersebut masih dipertimbangkan. Kabinet melihat keadaan itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan strategi ke atas Korea Utara," katanya pada taklimat media di Rumah Putih menjelang lawatan Trump ke Asia.

Di bawah peruntukkan undang-undang yang digubal pada 2 Ogos, Jabatan Negara mempunyai 90 hari untuk menentukan sama ada Korea Utara perlu dimasukkan dalam senarai, dan tempoh itu tamat pada Khamis.

Korea Utara pernah dimasukkan ke dalam senarai pada 1988 kerana insiden pengeboman pesawat yang mengorbankan 115 orang.

Pada 2008, negara rejim komunis dikeluarkan daripada senarai sebagai pertukaran perbincangan untuk larangan pembangunan senjata nuklear.

Negara yang disenaraikan akan berdepan sekatan antaranya tidak menerima bantuan asing daripada AS, pengharaman eksport dan penjualan kelengkapan pertahanan serta sekatan kewangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS