Cukai baru, peningkatan GST jika BN menang - Anwar
Cukai baru atau peningkatan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan diumumkan jika BN memenangi pilihan raya umum akan datang, kata ketua umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Anwar berkata dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa beliau telah mengumumkan "ibu segala bajet".
“Pelbagai janji telah ditabur dalam usaha yang tidak berselindung untuk memperdaya rakyat untuk menyokong BN pada PRU akan datang.
“Tetapi ada kelompangan cukup besar di dalam bajet pra-pilihan raya ini; ia gagal menunjukkan bagaimana kerajaan akan mengimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan.
“Bagaimanakah kerajaan ini akan menepati janji-janji bajet ini, walhal ia belum menunjukkan bagaimana pendapatan kerajaan akan ditambah?
“Ini langsung tidak ditunjukkan dalam mana-mana bahagian bajet ini,” kata bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan itu yang kini meringkuk dalam penjara dalam satu kenyataan.
Hanya ada satu penjelasan untuk hal ini, katanya, cukai-cukai baru atau peningkatan dan perluasan GST akan dikenakan ke atas rakyat.
“Rakyat yang akan menderita dan yang akan menanggung beban ini untuk membolehkan BN melaksana segala janji yang dibuat di dalam bajet ini,” katanya.
Dalam membentangkan belanjawan RM280.25 bilion minggu lalu, Najib berkata RM234 bilion (83 peratus) akan diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, sementara RM46 bilion untuk pembangunan.

