Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Veteran tentera ikrar pertahan, lindungi Dr M
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 12:20 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan menyelar keputusan menarik balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyifatkan keputusan itu tidak bertanggungjawab, presidennya Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata pihaknya berikrar akan terus "mempertahankan dan melindungi" bekas perdana menteri itu.

"Kita tidak boleh jadi patriot kepada bangsa ini jika tidak bersimpati dengan pemimpin negara yang telah berkhidmat kepada rakyat, negara dan Raja-Raja," katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan menarik balik pengawal peribadi Mahathir Rabu lalu adalah langkah terbaru dikenakan terhadap negarawan itu sejak beliau menjadi pengkritik kerajaan dan pengerusi gabungan parti pembangkang.

Sebelum ini, kontrak tukang masak dan pembantu pejabatnya juga ditamatkan, manakala khidmat polis pengiring juga ditarik balik.

Mohd Arshad berkata keputusan itu adalah "amatur, tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah serta merendahkan" bekas pemimpin yang telah memimpin negara selama 22 tahun dan membawa banyak kemajuan ekonomi kepada negara.

"Para pemimpin dunia memberi perhatian yang tinggi kepada beliau dan Malaysia pernah mendapat penghormatan semasa kepimpinannya. Semasa kemelesetan global 1998, tindakan Mahathir menyelamatkan ekonomi kita.

"Tidak kira apa pun beliau hari ini, beliau pastinya tidak berhak menerima layanan yang tidak bertanggungjawab seperti itu oleh kerajaan," kata Mohd Arshad.

Katanya, anggota persatuan bekas tentera itu akan menyalahkan kepimpinan negara sepenuhnya sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku kepada Mahathir.

Lihat Komen
ADS