Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG: Saya tiada komen
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 2:43 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Peguam negara enggan mengulas dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang mendakwa memperoleh draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada timbalan pendakwa raya, Kevin Morais sebelum pembunuhannya.

Ketika dihubungi tengah hari ini, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjawab" "Saya tidak ada komen".

Apandi dua tahun lalu menafikan kertas pertuduhan diterbitkan Sarawak Report  itu dan mengatakan ia adalah palsu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Rewcastle-Brown membuat dakwaan itu dalam kenyataan pembelaannya pada 11 Oktober berhubung saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di United Kingdom.

Menurutnya, dia menerima dokumen itu sehari selepas pendahulu Apandi, Tan Sri Abdul Gani Patail meletakkan jawatan pada 27 Julai 2015.

"Defendan (Rewcastle-Brown) telah menerima draf pendakwaan dan maklumat berkaitan rancangan untuk mendakwa Najib dan pemecatan (Gani) pada hari setelah pemecatannya dari pendakwaraya, Kevin Morais," menurut pernyataan pembelaan yang dilihat Malaysiakini.

Apandi menggantikan Gani yang ditamatkan perkhidmatan atas faktor kesihatan ketika sedang mengetuai pasukan petugas bersama untuk meneliti isu 1MDB.

Kerajaan menafikan bahawa Gani disingkirkan dalam usaha menutup skandal 1MDB dan isu-isu berkaitan.

Beberapa hari selepas penyingkirannya, pada 30 Julai, Sarawak Report menerbitkan laporan yang mendakwa ada kertas pertuduhan terhadap Najib berhubung dakwaan penyelewengan sebanyak RM42 juta daripada SRC International - bekas anak syarikat 1MDB - ke dalam akaun peribadinya.

Rewcastle-Brown mendakwa Morais telah memberikan maklumat mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas SRC International dan peguam itu merancang untuk bertemunya di London.

Bekas Ketua Pesuruhajaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed menafikan bahawa Morais terlibat dalam siasatan 1MDB berhubung pemindahan RM42 juta SRC International, serta derma RM2.6 bilion dari kerabat diraja Saudi ke akaun Najib.

Beliau berkata Morais dipindahkan dari SPRM setahun sebelum siasatan 1MDB bermula.

Apandi, yang kemudian membebaskan Najib daripada sebarang kesalahan, juga mengatakan Morais tidak terlibat dalam penyiasatan itu.

Morais dibunuh pada September 2015. Dia dilaporkan hilang pada 4 September dan mayatnya ditemui dalam tong berisi konkrit dua minggu kemudian pada 16 September.

Enam lelaki didakwa dengan pembunuhan itu manakala seorang pakar patologi dituduh bersubahat. Morais merupakan pendakwaraya dalam kes rasuah terhadap pakar patologi berkenaan.

Sarawak Report sebelum ini dituduh berkomplot untuk menggulingkan Najib dengan menerbitkan tuduhan-tuduhan palsu.

Rewcastle-Brown bagaimanapun menafikan perkara itu.

Saman fitnah yang difailkan oleh presiden PAS berkaitan artikel Sarawak Report yang mendakwa parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Najib.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS