Kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH membantah keras pemindahan anggota tentera atau pasangan mereka ke kem Segamat, Johor yang masih belum siap dibina.

“BERSIH2.0 menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap isu ini kerana ia merupakan suatu kesalahan dan penipuan pilihan raya yang serius,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, DAP Johor mendedahkan bahawa seramai 1,051 pengundi tentera telah dipindahkan ke kem Segamat manakala 218 pengundi tentera masih berdaftar di kem Majidee di Johor Bahru, yang ditutup pada 2014.

“Berdasarkan perlembagaan persekutuan, seseorang hanya boleh didaftarkan sebagai pengundi di sesebuah kawasan parlimen atau DUN jika mereka tinggal di kawasan tersebut.

“Oleh itu, disebabkan kem Segamat masih belum siap dibina, persoalan serius timbul apabila 1,079 pengundi itu bertukar pendaftaran ke kem Segamat yang terletak di P140 Segamat, iaitu sebuah kerusi parlimen yang dimenangi oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Subramaniam dengan hanya1,217 undi,” katanya.

Menurut BERSIH, kewujudan dua lokaliti baru di kem Segamat menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan semakan di lapangan untuk memastikan kawasan tersebut adalah sah dan mempunyai penduduk sebelum mewujudkannya.

“SPR juga gagal membuat semakan terhadap 1,079 permohonan-permohonan ini seperti mana yang diperuntukkan dalam Peraturan 13 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Kegagalan-kegagalan seperti inilah yang menyebabkan banyak pengundi hantu terkandung dalam daftar pemilih,” kata BERSIH.

Kumpulan itu berkata, tindakan memindahkan pengundi secara haram dan terancang ke kerusi-kerusi marginal bukan suatu isu baru, dan telah banyak kali didedahkan.

Ini, kata BERSIH, khasnya di kerusi parlimen Bukit Katil, Lembah Pantai, Kluang, dan Hutan Melintang.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan sahaja tidak mengambil tindakan untuk membetulkan keadaan, malah telah menghentikan pemberian rang daftar pemilih tambahan kepada parti-parti politik dalam bentuk elektronik bagi menyukarkan pengesanan pengundi hantu.

“Oleh itu, BERSIH2.0 dengan tegasnya menuntut perkara-perkara berikut dengan segera,” katanya.

Kumpulan itu selanjutnya menuntut penjelasan dari SPR dan Kementerian Pertahanan mengenai isu itu dan mempersoalkan jika insiden serupa juga terjadi di kem-kem lain.

“SPR perlu mengambil tindakan untuk membatalkan pemindahan dan pendaftaran baru ini sebelum daftar pemilihan tambahan diwartakan.

“Pihak polis dan peguam negara perlu menjalankan penyiasatan terhadap isu ini kerana ia merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata BERSIH.