Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia capai pelbagai kejayaan pada 2017
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 4:18 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana negara ini telah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang baik di dalam negara mahupun di persada antarabangsa sepanjang tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata kerajaan hari ini sentiasa mengimbangi setiap langkah yang diambil dalam merangka hala tuju Malaysia demi masa depan yang lebih cerah untuk generasi pewaris negara ini.

“Dalam kita mempersiapkan modal insan negara, menjadi lebih berdaya saing, menghadapi Revolusi Perindustrian Ke-Empat, dasar negara juga disusun berpandukan agama seperti yang dilihat melalui peningkatan skor Indeks Syariah Malaysia tahun ini dari kategori kesihatan, prasarana, dan persekitaran ekonomi dan juga sosial,” kata beliau dalam blog najibrazak.com hari ini.

Dari segi infrastruktur, Najib yang juga menteri kewangan berkata penduduk bandar kini dapat menikmati jaringan pengangkutan awam yang bersepadu melalui pembinaan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan penduduk luar bandar di sebelah Pantai Timur pula bakal menikmati limpahan ekonomi projek ECRL yang dilancarkan tahun ini.

Bagi dasar luar negara pula, perdana menteri berkata Malaysia telah membina hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar dan kecil dunia agar kedaulatan negara terus terpelihara.

Najib turut berkata kejayaan atlet-atlet Malaysia mengharumkan negara dalam kedua-dua acara Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN wajar dipuji kerana ia adalah bukti tentang usaha pembangunan sukan yang seimbang untuk sesiapa sahaja yang mewakili negara.

Beliau berkata walaupun usaha mengimbang dan menimbal setiap pilihan sebelum membuat keputusan itu pastinya tidak akan menggembirakan semua pihak, tetapi kerajaan hari ini akan sentiasa berusaha memastikan ia adalah suatu keputusan yang saksama seperti yang dilambangkan logo neraca Barisan Nasional.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS