Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih baik Najib letak jawatan sekarang, kata Dr M
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 4:48 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi kata dua yang pedas berhubung kenyataan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa Malaysia akan mencapai tahap rasuah sifar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur suatu hari nanti.

Dalam rakaman video yang disiarkan di Facebook petang ini, bekas perdana menteri itu dengan suara latar belakang dari salah satu filem Harry Potter, berkata jika demikian keadaannya, Najib harus melepaskan jawatannya serta-merta.

“Dia (Ahmad Husni) kata bila Najib meletak jawatan, pada masa itu tahap rasuah akan menurun, jadi lebih baikah Najib letak jawatan sekarang,” katanya.

Mengulas Bajet 2018, Ahmad Husni, pada Rabu lalu, memetik falsafah Cina yang mengatakan seseorang perlu mengikut "satu kuda" dan bukannya "enam kuda".

"Saya bangga kerana (mengikut) satu kuda. Maknanya saya ikut seorang pemimpin dalam sebuah organisasi, iaitu BN dan Najib.

"Apabila satu kuda buat silap, kita boleh betulkan. Tak ada masalah, kita boleh berubah.

"Saya yakin apabila tiba masanya untuk perdana menteri serah jawatan [...] legasi yang akan ditinggalkannya Malaysia akan mencapai tahap sifar rasuah," katanya.

Mengenai enam ekor kuda itu, Ahmad Husni berkata terdapat enam pemimpin dalam pembangkang iaitu Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

"Sebab apa jangan ikut enam kuda? Kalau ada satu parti dengan enam pemimpipn berbeza pemikiran masalah yang timbul tak boleh diselesaikan," katanya.

Husni digugurkan dari kabinet pada Julai tahun lalu. Media melaporkan alasan peletakan jawatan itu ialah kerana beliau enggan dipindahkan ke kementerian lain.

Bagaimanapun ia menarik minat ramai kerana berlaku ketika isu skandal 1MDB sedang panas diperkatakan termasuk di kalangan pemimpin Umno.

Dalam video ringkas itu, Mahathir juga mempertikaikan sama ada orang lain akan mengikuti jejak Ahmad Husni, beralih dari kedudukan kritikal mengenai 1MDB suatu ketika lalu tetapi mula memuji Najib menjelang pilihan raya umum.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau percaya ramai yang akan berbuat demikian.

“Ada orang yang ada dosa dan apabila ditunjuk dosa kepada mereka, mereka akan beralih untuk elak daripada pendedahan dosa, jadi banyak orang macam itu dalam negara kita ini,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Najib berulang-kali menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan menuduh Mahathir bersekongkol untuk menjatuhkannya.

 

Lihat Komen
ADS