Penduduk PPR Loke Yew bimbang tikus 'ceroboh' tangki air
Gangguan tikus di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Loke Yew di sini semakin meresahkan penduduk apabila haiwan perosak itu kini begitu agresif dan mereka bimbang keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan.
Penduduk, Aina Mohamad, 45, berkata situasi itu amat membimbangkan kerana beliau pernah ternampak haiwan perosak itu di aras paling atas bangunan 19 tingkat itu dan ia sudah menghampiri tangki simpanan air.
"Sekiranya tikus-tikus itu 'menceroboh' tangki simpanan air, saya bimbang air itu dicemari dengan kencing tikus dan keadaan ini amat berbahaya buat seluruh penduduk di sini.
"Meskipun kami kerap melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan ini, namun masalah ini masih tidak selesai dan tikus masih kelihatan di kawasan perumahan ini," katanya kepada Bernama.
Beliau mengharapkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memberi bantuan kepada penduduk dalam kerja-kerja membasmi tikus di kawasan perumahan yang didiami lebih 4,000 orang.
Seorang lagi penduduk, Zurnita Tahir, 40, yang menghuni di tingkat 17 berkata cucu kepada jirannya pernah terpijak air kencing tikus sehingga menyebabkan kakinya bengkak.
"Saya bimbang masalah ini berlaku pada anak-anak saya yang masih kecil. Sebelum ini memang biasa dengar tikus berkeliaran dari bawah hingga tingkat tujuh, tetapi kini sudah sampai aras paling atas," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Sub Zon 1 Parlimen Cheras, Jeff Chu Jun Mun tidak menolak keadaan persekitaran yang tidak bersih menyebabkan haiwan tersebut terus membiak.
"Buat masa ini, saya belum terima sebarang aduan daripada penduduk, namun saya akan berjumpa dengan mereka sendiri dan maklumkan masalah ini kepada pihak DBKL. Perkara ini perlu dipandang serius kerana ia boleh mengancam nyawa,” katanya.
- Bernama

