Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Seronok tengok orang putih kerja dengan kita'
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 6:49 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Seorang bekas editor Kumpulan New Straits Times mengimbau pengalamannya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengikuti rombongan bekas perdana menteri itu ke Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.

Menerusi Facebook, Mustapha Kamil menceritakan bagaimana beliau melihat Mahathir dikawal ketat oleh ejen perkhidmatan rahsia Amerika Syarikat.

Pada ketika itu, Mahathir baru sahaja selesai menghadiri majlis makan malam dan mahu menuju ke bilik hotel selepas seharian melawat kilang Motorola di Schaumburg dan menemui tokoh-tokoh Islam di Chicago.

"Walau kami bersama Dr Mahathir berjalan di lobi hotel itu, kami tetap tidak dapat menghampiri beliau.

"Dia dikawal oleh empat orang ejen US Secret Service. Tiga orang lelaki yang berbadan sasa lengkap bersenjata Heckler & Koch MP5 dan seorang ejen wanita yang juga bersenjata serta membawa seekor anjing German Shepard yang amat lah garang rupanya," kata Mustapha.

Mustapha berkata, kawalan sebegitu adalah perkara biasa diberikan oleh kerajaan Amerika kepada mana-mana ketua kerajaan asing.

Ini termasuklah Mahathir sendiri yang ketika itu dianggap sebagai tokoh yang lantang mengritik dasar-dasar Amerika Syarikat.

"Dr Mahathir juga diberi kawalan tersebut serta pengiring bermotosikal walaupun dia sentiasa mengkritik pendirian Amerika Syarikat ini, khususnya tentang isu Palestin.

"Sebelum beliau dan isterinya menaiki lif di hotel Four Seasons itu, sempat juga dia berseloroh. Dia berpaling pada kami dan kata, ‘Hang tengok. Kadang-kadang seronok juga tengok orang putih ni kena kerja dengan kita’." jelasnya.

Polis baru-baru ini menarik balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) kepada bekas perdana menteri itu yang kini menjadi pengkritik nombor satu kerajaan.

Sebelum ini, khidmat tukang masak dan pengiring trafik kepada Mahathir turut diberhentikan.

Tindakan itu dilihat usaha terbaru kerajaan memberi tekanan kepada pemimpin gabungan pembangkang, Pakatan Harapan itu.

Menurut Mustapha, beliau tidak mempunyai tujuan khusus menceritakan pengalamannya bersama Mahathir ketika berada di luar negara.

"Saya cuma terkenang perihal pengawal peribadi ini setelah terbaca yang khidmat pengawal peribadi untuk Dr Mahathir di negaranya sendiri telah ditamatkan oleh kerajaan," katanya.

 

Lihat Komen
ADS