Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, Jack Ma lancar Zon Perdagangan Bebas Digital
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 7:14 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengasas/Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma, melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Malaysia dengan penyertaan 1,972 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedia eksport.

DFTZ yang pertama di dunia itu merupakan komponen penting dalam memacu ekonomi digital Malaysia, memudahkan PKS memanfaatkan penumpuan pertumbuhan eksponen ekonomi Internet dan perdagangan rentas sempadan.
“PKS mempunyai kuasa untuk mengubah ekonomi.
Mereka bercita-cita tinggi, aktif dan mempunyai potensi untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi.

"Mereka mempunyai kuasa untuk menggerakkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi," kata Najib selepas merasmikan majlis pecah tanah Taman DFTZ KLIA Aeropolis, bersama-sama Ma di Sepang hari ini.

Taman DFTZ KLIA Aeropolis akan mengoptimumkan pengendalian dan pelepasan sempadan kepada tiga jam daripada enam jam sekarang ini, dengan 90 peratus Perjanjian Paras Khidmat (SLA) dan menambah baik Operasi Terminal Kargo (CTO) daripada empat jam kepada 90 minit.
Pelancaran Taman DFTZ KLIA Aeropolis itu merupakan hab e-penunaian pertama Alibaba di luar China.

Ia dijangka menggandakan pertumbuhan jumlah kargo udara Malaysia daripada 700,000 tan setahun sekarang ini kepada 1.3 juta tan setahun dalam tempoh 10 tahun.

Ma, ahli perniagaan terkemuka China, berkata beliau percaya kerjasama itu adalah permulaan perkongsian strategik yang panjang antara kedua-dua negara.

"Alibaba Group tentu sekali merancang untuk kekal dan memperkukuhkan kehadiran kami di sini," katanya.

Hab e-penunaian dilengkapi dengan teknologi terkini, termasuk kemudahan pengasingan, rak dan kutipan, unit perindustrian yang membolehkan pembaikan dan pemasangan kecil sebelum penghantaran barangan, pemeriksaan kastam dan kawasan kuarantin serta kemudahan khusus kategori seperti menjaga keselamatan, simpanan terkawal suhu dan kemudahan lain.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS