Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mari bersemuka di 'Nothing to Hide 3', Dr M cabar Najib
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 10:29 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bersemuka dengannya dalam debat terbuka.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia bagi membolehkan Najib membuktikan segala kritikannya terhadap kerajaan selama ini tidak benar.

Beliau merujuk laporan Malaysiakini sebelum ini yang memetik Najib sebagai berkata, seorang 'bekas pemimpin' akan bertemu dengan mana-mana media yang sanggup mendengarnya, agar dapat menyebarkan berita palsu dan memfitnah kerajaan.

Walaupun tanpa merujuk khusus kepada Mahathir, ucapan Najib pada acara tersebut jelas ditujukan kepadanya. Najib sebelum sering melancarkan kritikan terhadap pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu tanpa menyebut namanya.

Membalas kritikan itu, Mahathir berkata tiada sebab untuknya tidak menyuarakan kritikan terhadap kerajaan terutama berkaitan isu 1MDB, di saat parlimen sendiri dilarang untuk bertanya soalan tentangnya.

"Media elektronik dan bercetak di Malaysia dikawal kerajaan. Malah Parlimen juga tidak boleh berbincang tentang 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib. Perhimpunan Agung Umno diarahkan untuk tidak membangkitkannya.

"Adakah saya patut berdiam diri ketika ditanya orang asing. Saya sudah bercakap dengan orang asing sepanjang hidup saya. Buktikan apa yang saya katakan palsu. Mari adakan 'Nothing to Hide 3'," katanya.

Pada Jun 2015, Najib dijadualkan hadir ke program Nothing to Hide di PWTC anjuran sebuah NGO, namun tidak berbuat demikian apabila Dr Mahathir tiba-tiba hadir ke program itu.

Nothing to Hide 2 pula dianjurkan oleh sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Ogos lalu, yang berakhir dengan kekacauan.
 

Lihat Komen
ADS