Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datuk Seri pukul RELA ditahan semula bagi kes dadah

Selepas dibebaskan setelah membayar wang jaminan bagi pertuduhan kes menyerang dan mencederakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini, ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Datuk Seri’ kemudian ditahan polis berhubung kes dadah.

Liow Soon Hee, 29, ditahan semula oleh sepasukan polis narkotik dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, (IPD) di Mahkamah Sesyen Ampang sejurus membayar wang jaminan berjumlah RM17,000 bagi empat pertuduhan menyebabkan kecederaan parah, menyerang dan mencederakan tiga anggota RELA iaitu Lee Weng Poh, 27, Melvin Cheong Mun Khai, 21, dan Leong Jun Jie, 21.

Selepas ditahan, Liow dibawa menaiki kenderaan MPV polis dan meninggalkan kompleks mahkamah pada 5 petang untuk dibawa ke IPD Dang Wangi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan semula Liow.

“Dia merupakan individu yang dikehendaki polis berhubung satu kes jenayah lampau dadah,” katanya.

Terdahulu, Liow mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen itu bagi empat pertuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada 6.30 pagi, 27 Oktober lepas.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, tiga anggota Rela iaitu Melvin, Lee dan Leong, masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.

Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku hanya kerana mereka meminta 'Datuk Seri' itu untuk mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS