Seorang guru tadika ditahan di Jalan Cempaka Putih, Kajang, kelmarin selepas dipercayai menampar muka seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata suspek perempuan berusia 19 tahun yang ditahan pada pukul 7.30 malam itu dipercayai bertindak demikian selepas mangsa enggan menulis dalam kejadian yang berlaku pada 31 Oktober lepas di sebuah tadika di Sungai Jelok, Kajang.
Menurutnya, guru berkenaan telah menampar pipi kiri dan kanan kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di telinga dan mempunyi kesan lebam di kedua-dua belah pipi.
"Mangsa yang dihantar ke tadika berkenaan sejak tahun lepas turut mengalami trauma dan menangis ketakutan semasa bapanya datang menjemputnya dari tadika," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata susulan itu, mangsa telah dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut.
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan `soft tissue injury’ (kecederaan tisu lembut) di kedua-dua belah pipi dan telinga mangsa," katanya.
Suspek direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.
- Bernama
