GLOBAL Ribuan orang yang berkabung di pengkebumian blogger anti-rasuah Malta, Daphne Caruana Galizia pada hari Jumaat, mendengar amaran yang ditujukan kepada pembunuhnya bahawa mereka berdepan dengan "hukuman tuhan."

Pulau itu berkabung sehari manakala bendera dikibar separuh tiang di Brussels semasa pengebumian itu berlangsung di gereja terbesar Malta, berhampiran ibukota Valletta dan dua kilometer dari tempat di mana blogger berusia 53 tahun itu maut akibat bom kereta ketika dia keluar dari rumahnya pada 16 Oktober.

Archbishop Charles Scicluna, yang mengetuai upacara pengkebumian itu, dalam ucapan yang ditujukan kepada pembunuh yang tidak dikenali itu berkata "Bagaimana kuat kamu berusaha untuk mengelak hukuman manusia, namun kamu tidak akan terlepas dari hukuman tuhan. Bertaubatlah sebelum terlambat".

Beliau kemudian memberitahu wartawan supaya jangan merasa takut.

"Saya menggalakkan anda supaya tidak jemu dalam misi anda untuk menjadi mata, telinga, dan mulut rakyat... Kami memerlukan orang dalam profesyen anda yang tidak gentar, yang bebas, pintar, ingin tahu, jujur, tenang, selamat dan dilindungi."

Laungan 'keadilan'

Presiden, perdana menteri dan ketua pembangkang pulau itu, yang semuanya menjadi sasaran tulisan Daphne, tidak menghadiri upacara tersebut, tetapi Presiden Parlimen Eropah, Antonio Tajani hadir sebagai tetamu keluarganya.

Menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan kegagalan demokrasi dan kedaulatan undang-undang di Malta, Kesatuan Eropah telah berikrar pada hari Jumaat untuk memastikan negara terkecilnya itu menemui pembunuh "kejam" itu.

Tajani juga dijangka melawat pejabat akhbar tempat Daphne menjadi penyumbangnya, dan keluarga Daphne dijemput untuk hadir di Parlimen untuk memperingatinya.

Kerajaan pulau itu menawarkan ganjaran satu juta euro (AS$ 1.16 juta) untuk maklumat mengenai pembunuh Daphne dan meminta bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI).

Tetapi keluarga Daphne enggan menyokong ganjaran itu, dan mendesak peletakan jawatan perdana menteri, pesuruhjaya polis dan peguam negara, dan menegaskan tidak ada keadilan tanpa reformasi institusi.

Desakan itu itu turut disokong pemimpin pembangkang Adrian Delia, yang berkata kegagalan pesuruhjaya polis dan peguam negara untuk bertindak apabila Daphne mendedahkan mengenai rasuah, telah mewujudkan keadaan yang membawa kepada pembunuhan itu.

[Baca berita penuh]