Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tren gerabak penumpang tergelincir berhampiran Kempas
Diterbitkan:  Nov 4, 2017 3:10 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

KTM Berhad hari ini mengesahkan berlaku kegelinciran tren gerabak penumpang di Km 747.59 berhampiran Kempas malam tadi.

KTM berkata insiden itu bagaimanapun dapat dikawal dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan terhadap 191 penumpang yang menaikinya.

Namun landasan antara laluan Kempas Baru-JB Sentral terpaksa ditutup sementara untuk semua perkhidmatan tren sektor selatan bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dijalankan.

“Perkhidmatan dijangka kembali pulih Isnin ini kerana kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan,” kata KTM dalam Facebook rasminya.

Menurutnya, berikutan gangguan tersebut, penumpang yang menggunakan tren KTM dari laluan JB Sentral ke Tumpat, Kelantan akan dibawa menggunakan bas dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kempas Baru.

Penumpang seterusnya akan meneruskan perjalanan menggunakan tren dari Stesen Kempas Baru menuju Stesen Tumpat.

KTM berkata bagi penumpang dari Tumpat ke JB Sentral, mereka akan menggunakan perkhidmatan tren dari Stesen Tumpat ke Stesen Kempas Baru.

Selepas itu mereka akan dibawa menggunakan bas untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Kempas Baru ke Stesen JB Sentral.

“Untuk penumpang bagi laluan JB Sentral-Gemas, penumpang akan dibawa menggunakan bas dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kempas Baru. Kemudian meneruskan perjalanan menggunakan tren dari Stesen Kempas Baru ke Stesen Gemas.

“Manakala penumpang dari Gemas-JB Sentral, akan menggunakan perkhidmatan tren dari Stesen Gemas ke Stesen Kempas Baru, kemudian mereka akan dibawa menggunakan bas untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Kempas Baru ke Stesen JB Sentral,” kata KTM.

Ia berkata penumpang yang ingin membatalkan perjalanan mereka, layak untuk mendapatkan pulangan tambang penuh atau membuat pertukaran tarikh perjalanan, namun bergantung kepada kekosongan tiket.

- Bernama

Lihat Komen
ADS