Anggota dan pegawai angkatan tentera darat yang masih belum mendaftar sebagai pengundi perlu segera berbuat demikian agar dapat melunaskan tanggungjawab sebagai warganegara pada pilihan raya umum akan datang.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata langkah itu penting kerana masa hadapan negara terletak pada tangan semua rakyat di negara ini tanpa mengira lapisan masyarakat dan sektor pekerjaan.
“Kita mempunyai kira-kira 80,000 anggota dan pegawai tentera dan hanya sebilangan kecil sahaja yang belum layak mendaftar sebagai pengundi kerana umur mereka yang menyertai angkatan tentera adalah seawal 18 tahun.
“Kita di pihak tentera darat pula sentiasa memastikan mereka yang layak berdaftar segera melakukannya dan tidak melepaskan peluang atau hak mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat
Penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Melaka 2017 sempena sambutan Hari Jadi Ke-79 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Melaka, hari ini.
Beliau merupakan antara 474 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran pada istiadat berkenaan yang menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM), membawa gelaran Datuk Wira.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Zulkiple berkata kesemua anggota tentera dalam keadaan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang bagi memastikan proses pemilihan kerajaan berjalan lancar dan dalam keadaan aman serta makmur.
Sementara itu, katanya penganugerahan pingat itu merupakan pengiktirafan bukan sahaja pada dirinya tetapi juga bagi perkhidmatan tentera di negeri ini.
“Tentera darat akan memberikan bantuan, perkhidmatan dan bakti kepada kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan serta pembangunan Melaka dapat dilaksanakan dengan lancar berpandukan pelan tindakan negeri,” katanya.
Dua belas lagi penerima DCSM termasuk Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique, Ketua Setiausaha KPKT Datuk Seri Mohammad Mentek, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A. Tambi.
Zulkiple melihat penganugerahan itu diiringi dengan tanggungjawab yang cukup besar supaya kemuliaan gelaran tersebut terus terpelihara.
Pada sesi kedua itu, Mohd Khalil turut menyampaikan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada tiga penerima dan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) kepada 43 penerima, masing-masing membawa gelaran Datuk.
Darjah Seri Melaka (DSM) diberikan kepada 30 penerima, Bintang Cemerlang Melaka (29), Bintang Khidmat Terpuji (94), Pingat Jasa Kebaktian (160), Pingat Bakti Masyarakat (95) dan Pingat Khidmat Lama (tujuh).
-Bernama
