Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan beliau tidak mahu meletakkan tahap dirinya serendah pendahulunya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib walaupun tidak menyebut nama Mahathir, namun berkata orang itu 'marah kepada semua orang dan bahkan kepada Bugis'.

"Sejarah Bugis tu gemilang, pejuang. Sampai orang Belanda takut dengan Bugis. Jangan suruh saya balik, saya tak suruh dia balik, mana tu?," katanya sambil disambut sorakan ribuan anggota Umno yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

"Saya tak suruh, tuan-tuan suruh. Saya tak suruh sebab saya tak nak stoop to his level," tambahnya.

Walaupun Najib tidak menghabiskan ayat-ayatnya, adalah jelas beliau merujuk kepada Mahathir yang didakwa mempunyai susur galur keturunan dari Kerala, India.

Sementara itu, Najib menambah bahawa sebagai perdana menteri, beliau mempunyai tugas untuk membawa politik yang bermoral dan mempunyai tatasusila.

"Saya lebih suka pukul sindiran, kita tak pukul cara kasar, brutal, crude, biadap.

"Kita ni pemimpin, orang tua, kena tunjuk contoh baik.

"Tak setuju dasar bagi point, fakta, tapi jangan burukkan orang, this is not Malaysian way (Ini bukan cara rakyat Malaysia)"

Perdana menteri berkata, beliau tidak mahu generasi muda mempelajari cara politik sebegitu.

"Sebab kita nak berjaya, negara berjaya, tak nak bercakaran sesama kita," katanya.

Lihat Komen
ADS