mk-logo
Berita
Salleh bayangkan konflik terbaru Dr M dan sultan
Diterbitkan:  Nov 4, 2017 6:51 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak membayangkan konflik terbaru antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan institusi diraja.

Ini selepas kenyataan bekas perdana menteri itu mengenai 'lanun Bugis' yang menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dewan di-Raja Selangor mencadangkan agar Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

"Kalau tidak berhati-hati, ini akan menjadi satu lagi konflik antara Mahathir dan raja-raja Melayu.

"Dan ini akan menjadi konflik ketiga selepas dua daripadanya berlaku ketika Mahathir menjadi perdana menteri," kata Salleh menerusi blognya.

Oleh itu, Salleh berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dipengerusikan Mahathir, tidak boleh berdiam diri.

Salleh berkata disebabkan HARAPAN tidak menyatakan pendirian mengenai kenyataan Mahathir, pemimpin DAP Lim Kit Siang perlu menjelaskan perkara itu.

"Sikap berdiam Lim boleh ditafsirkan sebagai bersetuju dengan Mahathir bahawa bangsa Bugis adalah lanun dan terdapat lebih daripada seorang sultan yang berasal dari Bugis.

"Walaupun BN mengutuk kenyataan Mahathir yang menghina kaum Bugis, pendirian HARAPAN kelihatan tidak jelas.

"Oleh itu Lim mesti tampil dan menjelaskan pendirian HARAPAN," katanya.

Lim bukan salah seorang anggota majlis presiden HARAPAN.

Mahathir membuat kenyataan mengenai lanun Bugis pada perhimpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" anjuran HARAPAN di Petaling Jaya bulan lalu.

Beliau mempertahankan kenyataannya dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada perdana menteri dan bukan bertujuan menghina masyarakat Bugis.

Ketika menjadi perdana menteri, Mahathir berusaha membendung kuasa institusi diraja, termasuk memperkenalkan mahkamah khas Raja-Raja dan melucutkan kekebalan raja-raja Melayu.

Lihat Komen
ADS