Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anggap fardu kifayah, Zahid umum RM500,000 untuk PPIM

Kementerian Dalam Negeri menerusi menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan one-off sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Menyifatkan bantuan tu sebagai 'fardu kifayah', Zahid berkata ia bagi membantu PPIM menyelesaikan masalah peminjam yang diburu syarikat pinjaman tidak berlesen atau 'Ah Long'.

“Hukum fardu kifayah kalau orang tak buat kita kena buat itu. Dengan ini saya mengumumkan peruntukan one-off kepada PPIM sebanyak RM500,000.

"Janji saya ditepati, ambil duit itu minggu depan,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Forum Pengguna Ke-7 tahun 2017 di Menara Felda, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama dalam forum itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Setiausaha PPIM, Datuk Maamor Osman.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Bagan Datoh itu meminta PPIM membantu mencapai sasaran pengurangan statistik individu muflis melibatkan kaum Melayu dalam tempoh setahun.

Sehubungan itu katanya KDN akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri bagi mensasarkan seramai 20,000 individu bebas daripada diisytihar muflis dalam tempoh berkenaan.

Zahid turut mengingatkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk melunaskan janjinya bagi memberikan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada PPIM.

Pada November tahun lalu, Hamzah mencadangkan PPIM menubuhkan koperasi yang boleh disertai pengguna seluruh Malaysia dan peruntukan sebanyak RM5 juta akan diluluskan bagi tujuan itu.

“Saya berbisik kepada Datuk Nadzim Johan tadi bahawa menteri KPDNKK berjanji untuk memberikan peruntukan RM5 juta kepada koperasi, setakat ini belum sampai lagi maka hari Jumaat ini saya akan ingatkan menteri itu jangan mudah berjanji kalau tidak ditepati.

“Kerana janji itu hutang. Oleh sebab itu jangan berjanji kalau tidak ditepati.

“Saya akan pastikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menepati janjinya. Insya-Allah, kalau saya lupa tolong ingatkan saya,” katanya di hadapan lebih 1,000 hadirin di forum terbabit.

Sementara itu Nadzim berkata peruntukan itu adalah pengiktirafan kepada PPIM untuk terus membela nasib rakyat yang teraniaya dengan aktiviti Ah Long dan kegiatan perjudian haram.

"Dengan adanya sokongan dan insuran kita harap kita boleh buat bukan setakat (membenteras) perjudian haram tapi benda-benda lain yang boleh kita buat," katanya.

Lihat Komen
ADS