Calon STPM mengaku miliki 2 bom
Seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas satu pertuduhan memiliki dua butir bom.
Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, yang sepatutnya menduduki peperiksaan STPM esok, disyaki terlibat merancang untuk melancarkan keganasan di Festival Beer 2017.
Dia turut berdepan empat pertuduhan lain berkaitan penglibatan dalam kumpulan pengganas.
Selepas pertuduhan dibacakan, Hafizi mengaku bersalah memiliki dua butir bom improvised explosive device sekali gus menyalahi Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971 ketika ditahan di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, Kelantan pada 10 Oktober lalu.
Bagi empat tuduhan lain mengikut Seksyen 310F, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Pasir Puteh itu hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan ketika pendakwaan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi empat pertuduhan lagi Muhamad Hafizi didakwa terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas IS.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130F (a) Kanun Keseksaan iaitu memberi latihan bagi melakukan perbuatan pengganas yang melibatkan bahan letupan.
Tuduhan lain yang dibuat mengikut kanun sama ialah Seksyen 130FB (1)(a) kerana hadir di tempat yang digunakan untuk latihan pengganas, Seksyen 130JB (1)(a) (menyimpan barangan bersabit kumpulan pengganas) dan Seksyen 130JB (1)(b) (memaparkan imej atau video bersabit kumpulan pengganas).
Muhammad Hafizi kelihatan tenang dan bersahaja ketika di bawa ke lokap mahkamah bersama dua lagi rakan, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, yang masing-masing berdepan tiga dan dua pertuduhan berasingan berkaitan aktiviti kumpulan pengganas.
Kedua-dua tertuduh tersebut juga hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.
Hakim menetapkam 6 Disember depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

