Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan lulus bantuan, Selangor gerakkan sukarelawan
Diterbitkan:  Nov 5, 2017 2:35 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Kerajaan Kelantan .sedia menyalurkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada Pulau Pinang yang kini dilanda musibah banjir besar.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata beliau sedia maklum keadaan banjir di Pulau Mutiara itu membimbangkan.

"Kerajaan negeri akan turut membantu mangsa-mangsa banjir dengan menghantar sukarelawan dan meluluskan sejumlah RM50,00 sebagai bantuan segera ke Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Pulau Pinang berdepan dengan hujan lebat berterusan dan angin kencang sejak semalam, dipercayai antara lain kesan taufan Damrey yang melanda Vietnam sebelum ini.

Ketua menterinya, Lim Guan Eng sudah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi yang berjanji untuk mengarahkan anggota tentera untuk membantu usaha menyelamat di negeri berkenaan.

Bantuan semampu mungkin

Sementara itu, Ahmad berkata dalam situasi sedemikian semua pihak agar wajar membantu mangsa-mangsa banjir di sana dengan mengetepikan sentimen politik.

"Marilah sama-sama kita mendoakan agar keadaan banjir semakin baik dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

"Bersabarlah atas ujian Allah SWT yang menguji rakyat di sana melalui musibah banjir. Hanya dengan kuasa dan ketentuan Allah jua kita bermohon," katanya yang juga timbalan mursyidur am PAS.

Di Shah Alam pula kerajaan Selangor melahirkan rasa simpati terhadap Pulau Pinang.

Sebagai tanda kebersamaan, Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali berkata kerajaan negeri memberikan sokongan penuh menyediakan bantuan kepada mangsa banjir.

"Walaupun kerajaan negeri yakin Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sedang melakukan sedaya upaya untuk mengatasi masalah banjir, kami memberi jaminan bahawa kami sedia menawarkan bantuan semampu yang mungkin," katanya.

Sebagai langkah segera Azmin berkata beliau meminta pasukan sukarelawan untuk segera bergerak ke Pulau Pinang dalam beberapa fasa mulai petang ini.

 

Lihat Komen
ADS