Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA: Walau 'tokong' Guan Eng usahlah lawan tuhan

Di sebalik imej kerajaan negeri yang diuar-uarkan selama ini, Lim Guan Eng ternyata masih perlu mendapatkan bantuan daripada kerajaan persekutuan, kata Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon.

"Kita nampak rakaman video Lim Guan Eng meminta bantuan daripada kerajaan pusat pada awal pagi.

"(Di sebalik) kerajaan macam tokong, dia tidaklah berkuasa seperti yang didakwanya untuk mengatasi masalah banjir," katanya.

Justeru timbalan menteri pendidikan itu memberi nasihat kepada Lim.

"Jangan lawan tuhan walaupun kamu seorang yang suci," katanya disambut gelak ketawa orang ramai.

Chong berkata demikian semasa berucap di Perhimpunan Agung Tahunan MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Pulau Pinang dinaiki air ekoran hujan lebat dan angin kencang sejak semalam, mendorong Lim meminta bantuan daripada kerajaan persekutuan.

Lim sendiri menghubungi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kira-kira jam 3.30 pagi tadi dan timbalan perdana menteri berjanji untuk menghantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turun membantu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan ATM sudah menggerakkan anggota dan asetnya ke beberapa lokasi di negeri itu tengah hari ini.

Untuk rekod gelaran "tokong" merujuk kepada Lim dan ia mula diperkatakan secara meluas pada 2012 ekoran rungutan timbalan ketua menteri ketika Dr Mansor Othman.

Lim menganggap banjir yang melanda Pulau Pinang hari ini sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang menyatakan jumlah taburan hujan semalam yang dicatatkan ialah 315mm menjadikan ia tertinggi dalam sejarah.

Bersama kritikan terhadap Lim itu Chong berkata MCA tetap akan berperanan membantu Pulau Pinang.

"Walaupun Lim selalu mengecam kita dalam isu pendidikan Cina - Pemuda MCA dan MCA - kita akan pergi ke Pulau Pinang untuk membantu penduduk di sana," katanya.

Lihat Komen
ADS