Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon SPM terjejas boleh ambil peperiksaan di sekolah lain
Diterbitkan:  Nov 5, 2017 4:42 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pulau Pinang yang terjejas banjir dan sekolah mereka dinaiki air boleh menduduki peperiksaan di sekolah lain.

Peperiksaan SPM dijadual bermula esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman, berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa sekolah yang terjejas.

"Saya telah arahkan pengetua sekolah yang terlibat dalam banjir untuk memaklumkan kepada pelajar mereka supaya mengambil peperiksaan di sekolah berhampiran yang tidak terjejas.

"Kami juga telah mengambil langkah segera dan membuat persediaan rapi bagi memastikan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu esok," katanya kepada Bernama.

Shaari berkata para calon juga diminta sentiasa berhubung dengan pihak sekolah bagi memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat dan betul supaya mereka tidak tercicir daripada peperiksaan.

Sementara itu seorang calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Indah, Muhammad Alif Syazwan Nor Azli, 17, berkata selain sekolah, rumahnya turut dinaiki air.

Namun katanya dia bernasib baik kerana sempat menyelamatkan buku serta peralatan alat tulisnya untuk menduduki peperiksaan.

"Cikgu dah beritahu, esok kalau air tak surut juga di sekolah, kami kena ambil peperiksaan di sekolah berhampiran,” katanya.

Seorang lagi pelajar SMK Bertam Indah, Mohd Firdaus Naim Hasni, 17, berkata rumahnya di Taman Bertam Indah turut dinaiki air banjir hingga paras pinggang, namun dia sempat menyimpan keperluan peperiksaannya sebelum dihanyutkan air.

"Kami juga dibenarkan hadir untuk mengambil peperiksaan SPM esok dengan memakai baju sukan sekolah kerana ada di antara kami yang baju sekolah basah dan kotor kena air banjir.

"Ada juga kawan-kawan saya yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bertam Indah kerana rumah mereka dinaiki air, sementara saya sekeluarga tumpang rumah nenek di Bertam," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS