Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Korban banjir di P Pinang meningkat kepada 7 orang
Diterbitkan:  Nov 5, 2017 9:08 PM
Dikemaskini: 3:28 PM

Dikemaskini Dua lagi mangsa disahkan maut dalam bencana banjir besar di Pulau Pinang menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia kepada seramai tujuh orang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa terbaru ialah seorang wanita, Tan Ah Peoe, 45, yang ditemui lemas di rumahnya di Jalan Mata Kucing, Air Itam, petang tadi.

Manakala mangsa ketujuh pula ditemui orang awam tersangkut bersama timbunan sampah di kaunter penjualan tiket Stadium Bandaraya kira-kira pukul 2.20 petang tadi.

"Mangsa ketujuh dijumpai dalam keadaan tidak berbaju serta tanpa sebarang pengenalan diri dan mayat kedua-dua mangsa kini dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Sementara itu Bernama melaporkan hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini menyebabkan Pulau Pinang lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini dilanda banjir selain turut menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung dengan fenomena air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.

Kejadian banjir itu turut menyebabkan kematian empat warga emas yang lemas dalam kejadian banjir dan seorang warga Bangladesh yang maut dihempap pokok manakala rakan senegaranya dipercayai masih hilang.

Setakat pukul 6 petang, seramai 3,365 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir di lima daerah di negeri ini dan daerah Seberang Perai Utara (SPU) disifatkan sebagai kawasan paling teruk terjejas akibat banjir.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,974 orang di 25 pusat pemindahan di daerah berkenaan manakala SPU (829 orang), Seberang Perai Selatan (25), Barat Daya (290) dan Timur Laut melibatkan 247 mangsa.

Kejadian banjir itu turut mengakibatkan sebuah feri di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterworth mengalami sedikit kerosakan akibat dipukul ombak setinggi tiga meter di kawasan itu sehingga melanggar bahagian W6 dermaga air dalam.

Bagaimanapun, feri tersebut dijangka beroperasi keesokan hari.

Lalu lintas di beberapa kawasan turut mengalami kesesakan antaranya George Town, Batu Ferringhi dan Tanjung Tokong disebabkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas dan hanya satu jalan sahaja dibuka untuk kenderaan.

Kerja-kerja pembersihan pokok-pokok yang tumbang akibat angin kencang sedang giat dijalankan dan polis turut mengawal lalu lintas bagi mengelak kesesakan.

Selain itu, Rapid Penang turut menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata 13 laluan bas di bahagian pulau dihentikan membabitkan kawasan Kebun Bunga, Teluk Bahang, Komtar, Pengkalan Weld, Tanjung Bungah, Bukit Bendera, Paya Terubong dan Balik Pulau dan satu laluan di bahagian Seberang Perai iaitu laluan bas Bukit Mertajam-Taman Pelangi turut diberhentikan operasi.

'Tidak bercadang isytihar darurat'

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini kerana keadaan terkini masih terkawal.

Beliau berkata darurat hanya akan diisytihar oleh kerajaan negeri selepas rundingan dan atas nasihat kerajaan persekutuan.

Terdahulu, Lim ketika mengadakan lawatan ke kawasan terjejas awal pagi ini meminta bantuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

"Keadaan semakin genting. Air masih naik, angin masih kuat, air sampai 10 hingga 12 kaki lepasi bumbung di Pulau Pinang. Pulau Pinang minta bantuan daripada ATM. Saya berjaya hubungi Timbalan Perdana Menteri, terima kasih kerana angkat panggilan saya hampir 3.30 pagi dan beliau berjanji akan menghantar pasukan ATM untuk selamatkan Pulau Pinang," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan menyatakan amaran hujan lebat peringkat jingga dikeluarkan pada petang semalam bagi negeri Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sebelum ditingkatkan ke peringkat merah ekoran hujan semakin lebat menjelang tengah malam.

Bagaimanapun, tahap amaran hujan lebat itu telah diturunkan kembali kepada kategori jingga mulai hari ini berikutan kawasan tekanan udara rendah dikesan semakin lemah. 

Lihat Komen
ADS