Bajet Selangor: Defisit tapi berisi
ULASAN | Minggu lalu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Zohdi mencabar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membantah Belanjawan Selangor 2018 kerana ia defisit, sama seperti Belanjawan Persekutuan.
Memang dua belanjawan ini defisit tetapi konteks perbincangan bagi kedua-duanya jauh berbeza. Belanjawan BN defisit selama 20 tahun berturut-turut sementara Belanjawan Selangor hanya defisit sejak tahun 2015.
Fokus harus diberi kepada imbangan tunai pada akhir tahun. Walaupun membentangkan belanjawan defisit tetapi Selangor mampu mencapai lebihan untuk tahun 2015, 2016 dan 2017.
Sebaliknya, kerajaan persekutuan bukan sahaja membentangkan belanjawan defisit selama 20 tahun berturut-turut malah mereka sering tidak mencapai lebihan mahupun imbangan pada akhir tahun.
Keadaan ini menyebabkan rizab Kerajaan Persekutuan merosot, berbeza rizab Kerajaan Selangor yang meningkat.
Selama dua tahun berturut-turut sejak tahun 2015, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh di bawah paras AS$100 bilion. Pada tahun 2013, angka ini pernah mencapai AS$150 bilion.
Keadaan ini bertambah perit apabila Petronas terpaksa membayar dividen kepada kerajaan persekutuan dengan menggunakan wang simpanannya dan bukan keuntungannya!
Sehingga 31 Disember 2016, rizab Bank Negara hanya setakat AS$96 bilion, berbanding dengan AS$98 bilion setahun sebelumnya. Bank Negara perlu membelanjakan AS$1.9 bilion hanya untuk mempertahankan mata wang Ringgit Malaysia, yang dianggap sebagai mata wang dengan prestasi terburuk di rantau Asia.
Pada masa sama, rizab kerajaan Selangor semakin bertambah. Angka terkini pada 30 Oktober 2017 ialah RM3.24 bilion berbanding dengan RM1.25 bilion pada tahun 2008.
Walaupun dua belanjawan ini defisit, tetapi fokus perbelanjaan kedua-duanya jauh berbeza. Belanjawan Selangor selalunya menekankan kepada peratusan pembangunan yang lebih tinggi berbanding kerajaan persekutuan. Ini hanya berlaku dengan mengurangkan ketirisan dan mempertingkatkan sumber pendapatan kerajaan.
Ia juga kerana agensi kerajaan yang cekap serta pengurangan tunggakan hasil akibat keyakinan pembayar cukai yang tinggi terhadap pentadbiran kerajaan negeri. Maka rakyat lebih rela membayar cukai kepada kerajaan apabila mereka merasakan ia berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan.
Kritik tapi iktiraf
Peratusan sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2005 hanya sekadar 20.8 peratus tetapi telah bertambah kepada 22.7 peratus pada tahun 2016. Saya menjangka angka ini akan terus naik pada tahun ini dan tahun depan.
Apa maknanya mencatat pertumbuhan tinggi, simpanan kukuh tetapi tidak dikongsi dengan rakyat jelata? Berlandaskan tirai kecermelangan inilah kerajaan Selangor mampu membentangkan bukan sekadar belanjawan defisit, malah belanjawan dengan peruntukan pembangunan melebihi peruntukan mengurus.
Sudah pasti ini harus diraikan kerana sudah sekian lama Belanjawan Persekutuan dibelenggu dengan peruntukan mengurus yang terlampau besar. Selangor merintis jalan kepada sebuah belanjawan yang sihat.
ADUN BN Batang Kali Datuk Mat Nadzari bin Ahmad Dahlan juga mengkritik Belanjawan Selangor 2018 di media. Saya memetik laporan New Straits Times, “ia seperti disertasi universiti yang teruk hanya mengandungi pengulangan pencapaian lalu."
Saya mengucapkan syabas kepada beliau kerana secara tidak langsung, beliau mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan Selangor sebagai satu “pencapaian”. Terima kasih kerana bercakap benar, akhirnya!
Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dalam laporan The Edge Financial Daily pada 31 Oktober 20172 berkata, kerajaan tidak harus terlalu terikat dengan pembentangan belanjawan berimbang kerana dalam menghadapi kegawatan ekonomi, kerajaan harus menggunakan rizab yang ada untuk merangsang pembangunan ekonomi melalui belanjawan defisit.
Sebaliknya, beliau mencadangkan kerajaan agar membayar balik hutang apabila keadaan baik dan membelanja atau berhutang dalam kegawatan ekonomi.
Maka adalah tidak menepati teori ekonomi jika ADUN BN menuduh Belanjawan Selangor 2018 tanpa berlandaskan kepada realiti, kerana program-program yang bakal dijalankan ada tahun 2018 adalah program yang sudah bermula sekian lama dan akan lebih dirancakkan pada tahun depan.
Apatah lagi Selangor mempunyai kemampuan untuk melakukannya.
LAU WENG SAN ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Selangor.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

