Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ADUN BN cadang pampasan RM 2,000 untuk mangsa banjir

Pihak Barisan Nasional di Pulau Pinang telah meminta kerajaan negeri menyediakan pampasan kewangan kepada mangsa-mangsa banjir kerana banyak yang telah kehilangan dan musnah semasa bencana pada 4 dan 5 November lalu, yang meragut tujuh nyawa itu.

ADUN BN Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad  mencadangkan sumbangan ikhlas RM 2,000 disediakan kepada mangsa-mangsa yang kehilangan kenderaan dan barang-barang kelengkapan rumah.

"Mangsa-mangsa perlukan peruntukan bagi menggantikan harta benda peribadi dan awam seperti kereta, barang-barang kelengkapan rumah dan kemudahan bilik tidur seperti katil yang telah musnah akibat banjir," kata Farid di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

"Kami berharap mereka tidak perlu mengisi borang keahlian bagi membolehkan untuk layak menerima sumbangan itu; kami berharap mereka dapat diberikan wang itu dengan cara yang ikhlas.

"Kami berharap kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan itu selepas mereka telah disahkan sebagai mangsa banjir oleh Adun, pihak polis atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," tambah Farid.

Pulau Pinang mengalami taburan hutan paling tinggi sebanyak 320mm pada 4 November 2017, paling tinggi dalam sejarah negeri itu.

Ditambah pula dengan angin kencang dan air pasang, kesemua daerah dalam negeri itu - di pulau dan di tanah besar - dilanda banjir, seramai 3,779 orang dipindahkan ke 42 pusat pemindahan banjir.

Farid sepatutnya membentangkan permintaan beliau sebagai usul tergempar DUN hari ini.

Bagaimanapun, memandangkan Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow telahpun membentangkan usul tergempar berkenaan krisis banjir ini yang disokong oleh kedua-dua ADUN BN dan Pakatan Harapan, kata Farid beliau tidak perlu lagi membentangkan usul lain.

Sementara itu, menurut pemangku ketua pemuda Gerakan Jason Loo, parti itu menawarkan bantuan makanan, minuman, pakaian dan selimut kepada mangsa-mangsa banjir

Beliau berkata pihak yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang (Tel: 04-2280228) di 139, Macalister Road, 10400 Penang.

Pihak yang berminat juga boleh berhubung sendiri dengan Loo di talian 012-3286306 atau Saravanan (012-4695321) untuk bantuan banjir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS