Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tindakan kerajaan yang hanya memperuntukkan hanya sebanyak 9.5 peratus daripada keseluruhan bajet kerajaan persekutuan dilihat cuba meletakkan rakyat di dalam bahaya kata Anggota Parlimen Klang Charles Santiago.

Katanya kerajaan seharusnya mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggariskan tujuh peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebagai peruntukan untuk kesihatan.

“Negara yang kurang membangun seperti Vietnam memperuntukkan tujuh peratus dari GDP kepada kesihatan rakyat mereka.

“Jawapan yang saya terima dari kementerian aneh sekali, mereka memperuntukkan bukan dengan GDP tapi 9.5 peratus daripada bajet kerajaan, ini masuk akal ke,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu Charles dalam soalan lisannya di dewan rakyat meminta kerajaan menyatakan jumlah peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta adakah kerajaan mengikut cadangan WHO menggunakan tujuh peratus dari GDP.

Dakwaan KKM tak bekal ubat

Bagaimanapun jawapan daripada KKM berkata kerajaan memperuntukkan 9.5 peratus atau RM24.8 bilion daripada jumlah keseluruhan bajet kerajaan persekutuan

“Jawapan diberikan bukan sahaja misleading (mengelirukan) tapi mangsakan rakyat Malaysia khususnya pesakit yang bergantung pada hospital kerajaan,” kesalnya.

Charles mendakwa rakannya yang merupakan penghidap Leukemia tahap empat memaklumkan pihak KKM tidak lagi membekalkan ubat kepadanya kerana 'bakal mati'.

“Saya ada bertemu dengan rakan saya yang mempunyai sakit leukemia tahap empat tapi KKM berhenti bagi ubat pada dia dengan mengatakan dia akan mati dan akan guna wang itu kepada orang lain.

“Tugas KKM untuk meletakkan siapa akan mati atau hidup? Tapi oleh kerana kerajaan tidak ada wang untuk peruntukan maka mangsa itu adalah pesakit di Malaysia, saudara dan saya,” katanya.

Status negara warga emas 2030

Malaysia dijangka akan mencapai status negara warga emas (negara menua) pada tahun 2030.

Terdahulu media melaporkan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan memberi peringatan kepada rakyat untuk membuat membuat persediaan awal antaranya menabung di usia muda.

Beliau menjelaskan, negara mencapai status menua apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Jelasnya masalah penuaan bukan sahaja menjadi kebimbangan pihak kerajaan malah ia turut membimbangkan warga emas itu sendiri berikutan cabaran yang perlu mereka harungi, terutamanya cabaran kewangan untuk menyara hari tua.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) menyatakan bahawa 90 peratus daripada pencarum kumpulan wang persaraan di Malaysia iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung gaya hidup yang ringkas untuk tempoh lima tahun selepas bersara.

Lihat Komen
ADS