Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dzulkifli enggan layan soalan selain skop sidang akhbar

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad hari ini membuat penampilan pertama sidang akhbar dalam masa tiga minggu tetapi enggan melayan soalan selain daripada skop sidang akhbar tersebut.

Dzulkifli, berserta Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar mengadakan sidang akhbar bersama di ibu pejabat SPRM di Putrajaya berkaitan Operasi Armada yang menyaksikan enam orang penjawat awam di antara yang ditahan kerana menerima suapan dari nelayan asing.

Sebelum sidang akhbar bermula, seorang pegawai unit komunikasi strategik SPRM bertanyakan beberapa orang wartawan portal berita berkaitan soalan - selain daripada Operasi Armada - yang hendak diutarakan ketika sidang akhbar.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama unit strategik SPRM meminta soalan-soalan daripada wartawan sebelum sidang akhbar.

Ketika Dzulkifli memulakan sidang akhbar hari ini, beliau sedar sudah agak lama beliau tidak bertemu media.

"Hari ini dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan, bersama rakan-rakan media yang saya hormati sekalian.

"Sudah lama tak bertemu, jadi rindu," kata beliau.

Pada penghujung sidang akhbar, Dzulkifli bertanyakan wartawa jika ada soalan berkaitan Operasi Armada.

Selepas menjawab dua soalan berkaita, Dzulkifli sekali lagi bertanyakan jika ada lagi soalan berkaitan operasi itu.

Mengambil satu lagi soalan berhubung operasi itu, Dzulkifli berkata 'terima kasih' dan bergerak meninggalkan sidang akhbar.

Dakwaan hubungan sulit berkaitan Dzulkifli pertama kali muncul dalam video di media sosial. Seorang ahli perniagaan kemudiannya membuat laporan polis terhadap video itu, menggesa siasatan dibuat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamed Fuzi Harun mengumumkan bahawa siasatan mengenai perkara itu masih berjalan.

Menjadi kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia untuk memikat perempuan yang telah berkahwin.

Di sebalik dakwaan hubungan sulit itu, Dzulkifli telah mengumumkan beliau tidak akan tunduk dengan serangan 'kotor dan jijik' itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS