TPM: Tiada rekod pindaan nama Jho Low
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usahawan kontroversial Jho Low tidak pernah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar namanya kepada Eric Tan Kim Loong.
Ini di sebalik, mahkamah di Singapura, yang membicarakan kes-kes berkaitan 1MDB membabitkan beberapa bekas tokoh perbankan, dimaklumkan bahawa Low menggunakan nama berkenaan untuk membuka akaun bank dan syarikat korporat di republik tersebut.
Dalam jawapan parlimen bertarikh 2 November, Zahid berkata; “Berdasarkan rekod JPN, individu bernama Low Taek Jho telah dikeluarkan sijil kelahiran serta MyKad kerana beliau dilahirkan di Malaysia.
"Semakan lanjut mendapati bahawa tiada sebarang rekod permohonan pindaan nama Low Taek Jho kepada ‘Tan Kim Loong’ atau ‘Eric Tak Kim Loong’pada kad pengenalan yang dikeluarkan oleh JPN.

Datuk Kamaruddin Jaffar (PKR-Tumpat) menyoal sama ada JPN atau Jabatan Imigresen pernah mengeluarkan sebarang dokumen identiti kepada Low yang menukar namanya.
Zahid juga mengesahkan bahawa Low telah dikeluarkan pasport antarabangsa.
Low dilaporkan beberapa kali menggunakan nama Eric Tan atas alasan "keselamatan".
Tan, yang namanya muncul berulang kali sebagai pemilik beberapa syarikat yang menyaksikan dana 1MDB didakwa disalurkan menjadi misteri dari permulaan.
Kes di Singapura itu mengenal-pasti empat akaun Falcon Private Bank yang dimiliki oleh syarikat-syarikat yang dikendalikan oleh Low menggunakan alias "Eric Tan Kim Loong" dan pengurus cawangan Falcon Private Bank Singapore Jens Sturzeneggar cuba menyembunyikan fakta ini.

