Paling Popular
Terkini

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kini dalam proses mempersiapkan diri ke kejohanan badminton sempena program tahunan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia, 21 November ini.

Rosmah berkata demikian ketika mengucapkan permohonan maaf ekoran kelewatannya untuk hadir menyempurnakan pelancaran laman web Malaysian Information and Network for Disabitlities atau MIND di bangunan BAKTI Siti Hasmah, Kuala Lumpur hari ini.

“Para hadirin sekalian, saya perlu minta maaf kerana lewat setengah jam sebab kena berlatih badmintan pagi tadi dan pada umur ini saya beritahu anda bukan sesuatu yang menyeronokkan untuk bermain badminton.

“Untuk tahun ini, ia kali kedua saya turun berlatih bermain badminton untuk pertandingan hujung bulan ini.

“Siapa-siapa yang nak main badminton mulakan pada umur yang muda. Pada umur 65 tahun ia bukan suatu yang menyeronokkan lagi,” kata Rosmah kepada kira-kira 100 peserta dan kakitangan Badan Aman Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Mengulas lanjut Rosmah berkata sebagai ketua beliau terpaksa menunjukkan contoh yang baik meskipun pada usia beliau yang mencapai 65 tahun.

“Bagaimanapun saya terpaksa juga turun berlatih badminton kerana pada akhir bulan ini kita akan ada pertandingan badminton oleh isteri wakil-wakil rakyat BN dimana kita bermain badminton dan bowling.

“Sebagai ketua saya terpaksa menunjukkan contoh yang baik walaupun lutut saya sakit, semua badan saya sakit, saya terpaksa turun,” kata Rosmah.

Kata Rosmah, kegigihan beliau itu juga didorong oleh pasangannya Datin Seri Lee Sun Loo, isteri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Lagi pun saya tidak mahu nanti pasangan saya merajuk dan tak nak main pulak dengan saya, susah saya. Jadi saya kena pujuklah.

Tambah Rosmah, ekoran kegigihannya itu juga menyebabkan badan beliau sakit-sakit dan membuatkan dirinya penat hingga menyebabkan kelewatan isteri perdana menteri itu menghadiri acara-acara kerajaan.

Kedua-dua kaki berbalut

“Nak kena panas kan badanlah, nak kena sapu minyaklah, lepas itu dapatlah main sejam atau 45 minit lepas itu, sebab itu saya kata bila saya balik nak mandi pun tak larat.

“Saya minta maaflah program ini lewat setengah jam dan kalau tak percaya sekejap lagi saya buka kasut saya boleh tengok kedua-dua kaki saya berbalut sebab nak pakai kasut tinggi,” kata Rosmah sambil menunjukkan kakinya yang sakit kepada hadirin.

Sementara itu mengulas pelancaran laman web MIND, Rosmah menegaskan pelancaran laman web MIND yang bertujuan meluaskan khidmat bantuan sosial kepada masyarakat kurang upaya di seluruh negara.

Laman web MIND melalui Program Permata Kurnia juga memberi bantuan sokongan dan sumber kepada kanak-kanak yang mengalami autisme serta ibu bapa mereka.

Rosmah dalam ucapannya berharap laman web itu dapat menjadi paltform dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

Khidmat sokongan autisme

“Menyedari fenomena peningkatan kejadian autisme ini serta keperluan ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami autisme, saya yang juga penaung program PERMATA telah menyarankan supaya Bakti dan MIND membuat penambahbaikan laman sesawangnya dengan memuatkan maklumat mengenai autisme.

“Melalui pautan terus atau hyperlink ke laman web Pusat PERMATA Kurnia,” kata Rosmah.

PERMATA Kurnia merupakan salah satu daripada tujuh program PERMATA yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal prasekolah khas untuk kanak-kanak yang mengalami autisme selain menyediakan khidmat sokongan kepada ibu dan bapa.

Laman sesawang PERMATA Kurnia ini meliputi pelbagai spektrum berkenaan autisme termasuklah daripada perkara-perkara asas sehinggalah kepada info teknikal dan pendidikan khusus.

Antara kandungan lainnya pula adalah khusus untuk membantu meningkatkan kefahaman kumpulan sasar berkaitan asas autisme, asas intervensi dan iKurnia LIVE yang sepenuhnya menggunakan platform pembelajaran terbuka dan Youtube dan boleh diakses secara 24 jam.

Lihat Komen
ADS