Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sempena 1,000 hari pemenjaraan pemimpin de facto Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahi, atas pensabitan liwat kedua, pemimpin dan penyokong pembangkang berarak dari Parlimen ke Dataran Merdeka.

Kira-kira 200 berkumpul di hadapan bangunan Parlimen memegang plakad dengan slogan “1,000 hari pengorbanan” seawal pukul lapan malam sebelum mereka berarak ke Dataran Merdeka yang terletak 2km dari situ.

Sambil bersorak “bebas Anwar”, “hidup rakyat” dan “reformasi”, semakin ramai menyertai perarakan itu sebaik tiba di Dataran Merdeka.

Polis yang kelihatan di sepanjang jalan tidak menghalang kumpulan itu daripada berarak dan berkumpul di Dataran Merdeka.

Antara yang hadir malam tadi ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin PKR Nurul Izzah Anwar, Saifuddin Abdullaj, Fuziah Salleh, Tian Chua, R Sivarasa, Zuraida Kamaruddin dan Johari Abdul.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Teng Chang Khim, selain pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad serta anggota parlimen PAS Mahfuz Omar turut hadir memberikan sokongan.

Dalam acara itu, lilin disusun membentuk perkataan “Anwar 1,000 hari di penjara” dan dinyalakan sebagai memperingati tokoh pakatan pembangkang itu.

Wan Azizah dalam ucapannya memberitahu kesakitan fizikal Anwar yang terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit susulan kemalangan konvoi penjara Anwar September lalu.

“Ia satu penyeksaan namun beliau sanggup menempuhnya demi negara kita.

“Kita tidak harus lupa sumbangan, bukan saja Anwar tapi semua yang pernah berkorban,” katanya.

Malam ini, tambah Wan Azizah adalah malam untuk mengenang Anwar.

“Pengorbanannya ada sebab. Jangan lupa bahawa ini adalah demi generasi masa depan.”

Selain Wan Azizah, pemimpin Pakatan Harapan lain turut mengambil peluang menyampaikan ucapan ringkas memperingati Anwar.

Hadirin bersurai selepas bacaan doa yang antara lain agar Anwar dibebaskan.

Pada Mac 2014, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan membebaskan Anwar dari tuduhan liwat. Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 menegaskan pensabitan Anwar atas tuduhan liwat.

[Berita penuh]

Lihat Komen
ADS